Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah,
wassolatu ala Rasulillah.
Soalan di atas merangkumi
dua hukum;
1. Hukum keluar berkerja
2. Hukum berhias
Bagi hukum pertama; dibolehkan
wanita yang kematian suami untuk keluar berkerja (atau untuk urusan-urusan lain
yang perlu) asalkan ia pulang untuk bermalam di rumah suaminya selama masih dalam
eddah (4 bulan 10 hari dari tarikh kematian suami, atau hingga melahirkan anak
jika ia hamil). Menurut jumhur ulamak; diwajibkan ke atas isteri yang kematian
suami untuk terus tinggal di rumah suaminya[1],
tidak keluar darinya melainkan untuk berkerja –jika ia seorang wanita
berkerjaya- atau untuk menguruskan keperluan-keperluannya. Kewajipan itu
berterusan hingga tamat eddahnya. Dalilnya ialah sabda Nabi SAW kepada Fari’ah
binti Malik RA (seorang wanita sahabat yang baru kematian suami); “Teruslah
tinggal di rumahmu –iaitu rumah yang menjadi kediamanmu ketika datangnya berita
kematian suamimu- sehingga berakhir eddahmu”. Berkata Fari’ah RA; ‘Aku bereddah
di rumah itu sehingga 4 bulan 10 hari’ (Musnad Imam Ahmad; 27087. Sunan Abu
Daud; 2300. Status hadis; isnadnya hasan).
Bagi hukum kedua;
diharamkan ke atas wanita yang kematian suami untuk berhias selama dalam eddah
itu. Perhiasan yang dilarang merangkumi; perhiasan diri (berinai, bersolek dan
sebagainya), perhiasan pada pakaian dan juga barang-barang kemas (cincin/gelang
emas atau perak, batu-batu permata dan sebagainya). Dalilnya ialah sabda Nabi
SAW; “Wanita yang kematian suami; janganlah ia memakai pakaian yang dicelup
dengan mu’asfar (pencelup berwarana kuning) atau misyq (pencelup berwarna
merah), jangan ia memakai perhiasan (barang-barang kemas), janganlah ia mewarnai
diri (*seperti berinai dan sebagainya), dan jangan ia bercelak” (Musnad Ahmad;
26581. Sunan Abu Daud; 2304. Dari Ummu Salamah RA. Status hadis; isnadnya
soheh).
Dalam hadis lain, Nabi SAW
bersabda; “Janganlah wanita berkabung atas suatu kematian melebihi 3 hari,
kecuali atas kematian suaminya iaitu 4 bulan 10 hari,[2]
dan janganlah ia memakai pakaian yang dicelup (bercorak dan berwarna-warni),
jangan bercelak dan jangan memakai wangian kecuali setelah bersuci dari haid;
dibolehkan sedikit sahaja (untuk menghilangkan bau tidak enak pada faraj)”
(Soheh Muslim; 938/66, dari Ummu ‘Atiyah RA).
Menurut ulamak; maksud
larangan pakaian bercelup itu ialah yang dicelup untuk tujuan menghiasnya, jadi
maksud larangan itu ialah; memakai pakaian yang berhias (bercorak dan berwarna
warni). Maka wanita dalam eddah kematian suami hendaklah memakai pakaian yang
biasa-biasa sahaja, berwarna apa sekalipun, asalkan tidak bercorak dan
berwarna-warni dan tidak kelihatan tujuan untuk berhias. Tidak ditegah berpakaian
elok. Tidak ada nas mewajibkan pakaian berwarna hitam atau yang mensunatkannya.
Tidak ditegah memotong
kuku, membersih diri, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, menyisir
rambut dan sebagainya kerana tiada dalil melarangnya. Turut tidak dilarang ialah
mengemas rumah, menyembur pewangi rumah dan seumpamanya kerana yang dilarang
ialah perhiasan dan wangian di badan sahaja.
Kesimpulannya; harus bagi
isteri yang kematian suami untuk keluar berkerja semasa dalam eddahnya, namun
janganlah ia berhias.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Syarah Ibnu Qasim, hlm.
172.
2. at-Talaq, Dr. Muhammad
Ibrahim al-Hifnawi, hlm. 420-426.
3. Tamam al-Minnah, Syeikh
‘Adil al-Azzazi, 3/230-240.
4. Fatawa ‘Ulama al-Balad
al-Haram, hlm. 673.
5. Hasyiyah al-Baijuri ‘Ala
Ibni Qasim, 2/180.
6. Syarah Soheh Muslim,
Imam an-Nawawi; 10/116.
[1]
Iaitu kediamannya bersama suami ketika berlaku kematian suami. Tidak harus ia
diusir keluar dari rumah itu dan begitu juga, tidak harus ia keluar dengan tindakan
sendiri. Disyaratkan rumah itu sesuai didiaminya. Jika tidak sesuai didiaminya
atau ia khuatir membahayakan dirinya dan anak-anaknya, harus ia keluar dari
rumah itu ke rumah lain sekalipun belum tamat eddah. (lihat; Syarah Ibnu Qasim,
hlm. 172).
[2]
Hukum berkabung (ihdad) di atas kematian suami adalah wajib dengan ijmak
ulamak. Tempohnya ialah hingga tamat eddah iaitu 4 bulan 10 hari bagi yang
tidak hamil. Bagi yang hamil pula, hingga melahirkan anak (Tamam al-Minnah,
3/234). Adapun berkabung di atas kematian orang lain, harus sahaja hukumnya
(tidak wajib). Tempohnya; tidak lebih 3 hari (Tamam al-Minnah; 3/234. Syarah
Abi Qasim, hlm. 172).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan