Soalan; assalamu alaikum, ustaz. Saya ada mengambil anak
angkat dari kecil. Bolehkah saya buat aqiqah untuknya? terima kasih
Jawapan;
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu ‘ala Rasulillah.
‘Aqiqah anak pada hukum asalnya dituntut dari orang yang menanggung
nafkah si anak (iaitu bapa atau datuknya. Bagi anak luar nikah, aqiqahnya dilakukan
oleh ibu kerana ibunya yang wajib menanggung nafkahnya). Jika hendak dilakukan
oleh orang lain, hendaklah dengan keizinan mereka. Tanpa keizinan mereka,
aqiqah itu tidak dikira. Itulah yang menjadi pandangan jumhur ulamak termasuk
mazhab Syafiie.
Ada juga ulamak berpandangan; asalkan berlaku sembelihan untuk
si anak dengan niat aqiqah sudah dikira aqiqah untuknya tanpa diambil kira
siapa melakukannya. Ini berdalilkan sabda Nabi SAW; “Anak kecil dipertaruhkan
dengan aqiqahnya, iaitu disembelih (ternakan) untuknya pada hari ke 7, diberi
nama dan dicukur kepalanya” (Jami’ at-Tirmizi; 1522, hasan soheh). Dalam hadis
ini Nabi SAW hanya menyebutkan ‘disembelih (ternakan) untuknya’ tanpa Nabi
menentukan siapa sepatutnya melakukannya, maka dengan berlakunya sembelihan dengan
niat aqiqah, terhasillah aqiqah untuk si anak sekalipun dilakukan orang asing
(Fathul-Bari; 9/595. Subulussalam; 2/542).
Merujuk kepada soalan saudara, jika bapa atau datuk anak
itu masih hidup, seeloknya saudara meminta keizinan mereka untuk melakukan
aqiqah untuknya. Jika mereka sudah tiada, tidak dapat dikesan atau sukar
dihubungi sekalipun masih ada, bolehlah saudara melakukan aqiqah untuknya
dengan memakai pandangan kedua tadi. Insya Allah ia menambah lagi amal
kebajikan saudara untuk anak itu selain kesudian saudara menjaga dan
membelanya.
Rujukan;
1. Sabilal-Muhtadin, hlm. 912.
2. Fathul-Bari, 9/595.
3. Subulus-Salam;
3. Fatawa as-Syabakah al-Islamiah, no; 111169, 15671.
Ulasan