MEMAKAI PENUTUP MUKA KETIKA IHRAM
Soalan:
Adakah dibolehkan memakai pelitup muka (face mask) ketika berada dalam ihram haji atau umrah, khususnya untuk mengelakkan jangkitan penyakit berjangkit? Adakah dikenakan dam jika memakainya?
Jawapan:
Bismillah, walhamdulillah, wassolatu wassalamu ‘ala Rasulillah.
1. Hukum bagi lelaki
Menurut mazhab Syafi‘i, lelaki yang berada dalam ihram diharuskan menutup mukanya dan tidak dikenakan dam.
Imam al-Nawawi menjelaskan:
مَذْهَبُنَا أَنَّهُ يَجُوزُ لِلرَّجُلِ الْمُحْرِمِ سَتْرُ وَجْهِهِ وَلَا فِدْيَةَ عَلَيْهِ وَبِهِ قَالَ جُمْهُورُ الْعُلَمَاءِ
"Mazhab kami menetapkan bahawa harus bagi lelaki yang sedang berihram menutup mukanya dan tidak dikenakan fidyah ke atasnya dan itu juga pegangan jumhur ulamak"
(Al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, 7/269)
Oleh itu, lelaki yang memakai pelitup muka ketika ihram, sama ada untuk menjaga kesihatan atau mengelakkan jangkitan penyakit, tidak melakukan larangan ihram menurut mazhab Syafi‘i.
2. Hukum bagi wanita
Bagi wanita, terdapat larangan memakai niqab ketika ihram berdasarkan sabda Nabi SAW:
وَلَا تَنْتَقِبِ الْمَرْأَةُ الْمُحْرِمَةُ، وَلَا تَلْبَسِ الْقُفَّازَيْنِ
"Janganlah wanita yang sedang berihram memakai niqab dan janganlah dia memakai sarung tangan."
(Riwayat al-Bukhari, no. 1838)
Menurut perbahasan fuqaha mazhab Syafi‘i, wanita yang sedang berihram dilarang menutup mukanya dengan sesuatu yang dianggap sebagai penutup muka, termasuk sebahagian muka, menurut perincian yang disebut dalam kitab-kitab fiqh.
Berdasarkan pendekatan ini, pelitup muka yang menutupi hidung dan mulut boleh termasuk dalam larangan tersebut.
Walau bagaimanapun, jika terdapat keperluan untuk memakainya, seperti mengelakkan jangkitan penyakit berbahaya, maka pemakaiannya diharuskan kerana keuzuran.
Menurut pendekatan fiqh yang menganggap pelitup muka termasuk dalam larangan menutup muka ketika ihram, wanita yang memakainya kerana keuzuran tetap dikenakan fidyah. (Mughni al-Muhtaj).
Fidyah tersebut ialah memilih salah satu daripada tiga perkara:
Menyembelih seekor kambing yang memenuhi syarat korban.
Berpuasa selama tiga hari.
Memberi makan enam orang miskin, setiap seorang sebanyak dua mud makanan asasi.
Dalilnya ialah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 196:
فَفِدْيَةٌ مِنْ صِيَامٍ أَوْ صَدَقَةٍ أَوْ نُسُكٍ
"Maka hendaklah dia membayar fidyah, sama ada dengan berpuasa, bersedekah atau menyembelih binatang korban."
3. Pandangan fatwa kontemporari
Terdapat juga pandangan fatwa semasa yang mengharuskan wanita memakai pelitup muka perubatan ketika ihram tanpa dikenakan dam.
Antaranya ialah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-89 yang mengharuskan jemaah haji dan umrah memakai pelitup muka yang menutup mulut dan hidung tanpa perlu membayar dam.
Dar al-Ifta' Mesir juga mengeluarkan fatwa yang mengharuskan pemakaian pelitup muka perubatan tanpa fidyah. Menurut fatwa tersebut, pelitup muka perubatan tidak sama dengan niqab kerana bentuk dan tujuan penggunaannya adalah berbeza. Ia digunakan untuk melindungi diri daripada jangkitan penyakit, bukan sebagai pakaian khusus untuk menutup wajah.
Namun fatwa dalam Islamweb mengekalkan hukum klasik iaitu wanita yang memakainya kerana keperluan kesihatan dibolehkan berbuat demikian, tetapi tetap dikenakan fidyah.
Kesimpulan
Bagi lelaki, memakai pelitup muka ketika ihram adalah harus dan tidak dikenakan dam menurut mazhab Syafi‘i.
Bagi wanita pula, terdapat dua pendekatan hukum:
Pertama, pelitup muka dianggap termasuk dalam larangan menutup muka ketika ihram. Oleh itu, jika dipakai kerana keperluan kesihatan, hukumnya harus tetapi dikenakan fidyah.
Kedua, pelitup muka perubatan tidak disamakan dengan niqab yang dilarang. Menurut pendekatan ini, pemakaiannya diharuskan dan tidak dikenakan dam, sebagaimana keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan Malaysia dan fatwa Dar al-Ifta' Mesir.
Dengan adanya pandangan fatwa yang muktabar tersebut, jemaah wanita yang perlu memakai pelitup muka bagi menjaga kesihatan boleh berpegang kepada keputusan yang mengharuskannya tanpa dam, khususnya apabila terdapat risiko penularan penyakit berjangkit.
Wallahu a‘lam.
Rujukan:
Sahih al-Bukhari, hadis no. 1838.
Imam al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhadhdhab, 7/269.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Irsyad Hukum Khas Haji dan Korban, Siri Ke-68.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-89.
Dar al-Ifta' Mesir, Fatwa no. 7482, 15 Februari 2023.
Islamweb, Fatwa no. 37995.
Mughni al-Muhtaj, 2/294.
al-Taqriraat al-Sadiddah, Qism a-Ibadaat, 518.
Ahmad Adnan Fadzil
Akademi al-Quran Imam al-Syafi‘i (AQIS)
Ulasan