Apa hukum orang bukan
Islam memasuki masjid? Adakah dilarang sepenuhnya? Atau diharuskan dengan
syarat-syarat tertentu?
Jawapan;
Menurut mazhab Syafiie –sebagaimana
yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitabnya Raudhatu at-Talibin-; Diharuskan
kepada orang-orang kafir untuk memasuki mana-mana masjid selain Masjidil Haram
dan masjid-masjid dalam Tanah Haram, dengan syarat mendapat keizinan dari
orang-orang Islam. Tidak harus mereka memasuki Tanah Haram dalam apa jua keadaan
sekalipun. Adapun masjid-masjid selain Masjidil Haram, harus mereka memasukinya
dengan keizinan kaum muslimin. Tidak harus tanpa keizinan kaum muslimin mengikut
qaul soheh (dalam mazhab Syafiie) (Rujukan; Raudhatu at-Talibin (Imam
an-Nawawi), 1/301).
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ
الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا
“Wahai orang-orang yang
beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu adalah kotor.
Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini….” (surah at-Taubah, ayat 28).
Adapun keharusan mereka
memasuki masjid-masjid yang lain, adalah berdalilkan hadis-hadis berikut;
1. Pernah seorang tawanan yang masih
kafir (iaitu Tsumamah bin Utsal) diikat oleh Nabi SAW di dalam masjid, iaitu di
salah satu tiang dalam masjid (lihat; Soheh al-Bukhari; 462. Soheh Muslim; 1764/59.
dari Abu Hurairah RA).
2. Nabi SAW pernah menerima
kedatangan rombongan Nasrani (Kristian) Najran dan menempatkan mereka di dalam
masjidnya. Imam al-Khatib as-Syirbini menjelaskan dalam kitabnya Mughni
al-Muhtaj; “Telah tsabit bahawa Nabi SAW pernah membenarkan orang-orang kafir
memasuki masjidnya. Perkara itu berlaku setelah turunnya surah at-Taubah (yang
melarang orang kafir memasuki Masjidil Haram tadi). Surah at-Taubah diturunkan
pada tahun ke 9 hijrah, sedang para rombongan kaum tiba kepada baginda pada
tahun ke 10 hijrah. Antara romobongan yang datang ialah rombongan Nasrani (Kristian)
Najran. Nabi SAW menempatkan mereka di dalam masjidnya dan berdiskusi dengan
mereka tentang isu al-Masih (Nabi Isa AS) dan isu-isu lainnya” (Mughni
al-Muhtaj, 4/311).
Kesimpulannya, berdasarkan
pandangan mazhab Syafiie; orang kafir dibolehkan memasuki masjid dengan
syarat-syarat berikut;
1. Bukan Masjidil Haram dan
masjid-masjid dalam Tanah Haram.
2. Mendapat keizinan dari kaum
muslimin, termasuk ulil Amri (pemerintah) dari kalangan mereka.
Wallahu a’lam.
Tambahan (pandangan
mazhab-mazhab lain);
1. Menurut Imam Malik; orang kafir tidak harus memasuki
masjid melainkan jika ada suatu keperluan. Menurut Imam Abu Hanifah; hanya orang kafir kitabi sahaja diharuskan
memasuki masjid. Adapun kafir musyrik tidak harus memasukinya berdalilkan
hadis;
لَا
يَدْخُلُ مَسْجِدَنَا هَذَا مُشْرِكٌ بَعْدَ عَامِنَا هَذَا، غَيْرَ أَهْلِ
الْكِتَابِ وَخَدَمِهِمْ
“Tidak boleh memasuki masjid kita (bermula) tahun ini orang
musyrik kecuali ahli kitab dan juga khadam mereka” (Musnad Ahmad; 14649)
Rujukan;
Syarh as-Sunnah (Imam al-Baghawi), 11/82. Ibanat al-Ahkam syarh Bulughul Maram,
1/268.
Ulasan