Soalan; Saya ada mendengar
ada hadis berkata; “sahur itu membawa barakah”. Apa maknanya ustaz?
Jawapan;
Ya,
terdapat hadis dari Nabi SAW yang menyebutkan;
تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً
“Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada
barakah” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Anas bin Malik RA Bulughul-Maram,
hadis no. 616).
Perkataan ‘berkat’
atau ‘barakah’ banyak disebut oleh Allah di dalam al-Quran dan juga oleh Nabi
SAW di dalam hadis-hadisnya. Dari segi makna bahasa Arab, al-barakah (البركة) bermaksud; ziyadah (tambah), numuw
(tumbuh), sa’adah (kebahagiaan) dan kathratul-khair (banyak
kebaikan).[1] Dari segi makna Syarak, barakah
bermaksud terdapatnya limpahan kebaikan Ilahi (Allah) pada sesuatu. Maka suatu
yang diberkati bermaksud; suatu yang dilimpahi kebaikan dari Allah.[2]
Khusus bagi sahur, menurut Imam Ibnu Daqiq al-‘Id; barakah pada sahur merangkumi aspek ukhrawi dan
duniawi;
1.
Aspek ukhrawi
(yakni faedah akhirat); sahur itu adalah sunnah Nabi SAW. Setiap pengamalan
sunnah membawa barakah iaitu pahala dan tambahan pahala dari Allah di akhirat.
2.
Aspek duniawi; sahur memberi kekuatan kepada
tubuh untuk menghadapi ibadah puasa, menyenangkan tubuh,
tidak memaksanya di luar kemampuannya.
(Lihat; Ihkam
al-Ahkam syarh ‘Umdatil Ahkam, Imam Ibnu Daqiq al-‘Id, 2/9).
Menurut Imam an-Nawawi; keberkatan sahur –selain
dari memberi kekuatan untuk menghadapi ibadah puasa-, ada
juga ulamak menyebutkan; keberkatan sahur ialah kerana ia membangkitkan manusia
pada waktu yang mulia, iaitu waktu turunnya rahmat Allah dan dimakbulkan doa
dan istighfar (yakni waktu dari tengah malam hingga sebelum terbit fajar). Mudah-mudahan
orang yang bangun bersahur dapat melanjutkan amalannya dengan mengambil wudhuk
dan bersolat sunat atau amalan bersahur itu akan membiasakannya untuk berjaga malam
untuk beribadah dengan berzikir, berdoa dan bersolat malam (Lihat; Syarah Soheh
Muslim, al-Imam an-Nawawi, 7/206).
Memandangkan banyak
barakah dan kebaikan yang akan diperolehi dari bersahur, maka Nabi SAW amat
menggalakkan kita bersahur sekalipun dengan makanan yang sedikit;
تَسَحَّرُوا وَلَوْ بِجَرْعَةِ مَاءٍ
“Bersahurlah
walaupun dengan seteguk air” (Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban dan Abu Ya’la dari
Anas bin Malik RA. Hadis ini telah disohehkan oleh Ibnu Hibban. Lihat; Tuhfah
al-Ahwazi, hadis no. 642).
Wallahu a’lam,
Ulasan