Langkau ke kandungan utama

RAHSIA PUASA BERKUALITI

1. Puasa berkualiti apabila kita berjaya mencapai tujuan puasa yang dinyatakan Allah dalam al-Quran iaitu takwa.
"Wahai orang-orang beriman, difardhukan ke atas kamu puasa sebagaimana difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya (dengan puasa itu) kamu dapat bertakwa kepada Allah" (surah al-Baqarah, 183). 

Darjat takwa amat tinggi di sisi Allah. Allah berfirman; "Sesungguhnya orang termulia di kalangan kamu adalah orang yang paling bertakwa" (surah al-Hujuraat, ayat 13).

Kerana itu, syurga tidak diciptakan melainkan untuk orang bertakwa. "Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang bertakwa" (surah Ali Imran, ayat 133).

2. Puasa berkualiti apabila kita menghadapi puasa dengan persediaan jiwa dan jasmani. Kerana itu kita disurah oleh Nabi SAW untuk berniat puasa pada malamnya (sebagai persediaan jiwa) dan bersahur (sebagai persediaan jasmani). Sabda Nabi SAW; 

"Sesiapa tidak berniat puasa pada malam hati sebelum terbit fajar, tidak ada puasa baginya (yakni tidak sah puasanya)" (HR Imam Ahmad, Abu Daud, an-Nasai dan Ibnu Majah, dari Hafsah RA). 

Baginda bersabda juga; "Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan" (HR al-Bukhari dan Muslim, dari Anas RA).

3. Puasa berkualiti jika kita berjaya mengubah diri melalui penghayatan puasa, iaitu kita muncul sebagai insan yang lebih baik setelah berpuasa. Ini kerana setiap ibadah jika dilakukan dengan betul, akan mendekatkan kita dengan Allah dan apabila semakin dekat dengan Allah akhlak dan keperibadian kita menjadi semakin baik dan cemerlang. Kerana itu Nabi SAW bersabda;

"Seorang yang ketika sedang berpuasa masih  bercakap yang batil dan melakukan perbuatan yang batil, Allah tidak perlu kepada puasanya" (HR al-Bukhari dan Abu Daud, dari Abu Hurairah RA).

4. Puasa berkualiti jika kita berjaya membendung nafsu; nafsu makan, ketamakan kepada dunia, nafsu marah, dengki/iri hati, suka mengumpat, memandang rendah orang lain dan sebagainya. Dengan puasa kita dilatih membendung nafsu makan dan nafsu seks, maka kenapa kita tidak perluaskan kepada nafsu-nafsu yang lain untuk mengawalnya. Orang yang berupaya mengawal nafsu, dia akan berjaya mengharungi kehidupan untuk menuju kepada matlamatnya. Seorang yang dikuasai nafsu, nafsu akan meruntunnya dan akhirnya dia tenggelam dalam lautan nafsu dan tidak berjaya sampai kepada matlamatnya. Allah berfirman;

"Adapun orang yang takut saat dia akan berdiri mengadap Tuhannya nanti (di akhirat) dan dia menahan diri dari menurut hawa nafsunya, maka syurgalah tempat kediamannya" (surah an-Nazi'at, ayat 40-41).

5. Puasa berkualiti jika kita terdidik -melalui puasa- untuk mendahulukan orang lain dari diri sendiri, kerana mementingkan diri termasuk nafsu yang dicela agama. Malah semua ibadat tanda keberkesanannya nampak pada sejauhmana keperihatinan kita terhadap nasib orang lain di sekeliling kita. Dalam al-Quran, Allah pernah menyebutkan tentang orang yang bersolat, namun masih binasa, iaitu orang yang solat sambil lewa, menunjuk-nunjuk dengan solatnya dan tidak terdorong untuk membantu orang susah. 

"Maka kecelakaan besar bagi orang-orang ahli solat, iaitu mereka yang lalai dari solat mereka, yang bersikap riyak (dalam ibadat atau bawaan mereka), serta mereka enggan memberi pertolongan (kepada orang susah)" (surah al-Ma'un, ayat 4-7).

Kerana itu -sebagai tanda keperihatinan kita kepada orang lain di bulan puasa- kita digalakkan memberi makan orang berpuasa (terutamanya mereka yang miskin). Sabda Nabi SAW;

"Sesiapa memberi makan berbuka kepada kepada orang berpuasa, untuknya pahala orang berpuasa itu tanpa kurang sedikitpun" (HR at-Tirmizi, dari Zaid bin Khalid RA, hadis hasan sahih).

Begitulah sebahagian rahsia puasa. Jika kita rajin merenung ibadat-ibadat yang disyariatkan Allah, kita akan mendapati banyak rahsia di sebalik ibadat yang diperintahkan Allah agar kita melakukannya. Kita akan menjadi insan yang hebat hasil dari didikan ibadat-ibadat itu, lantas kita berterima kasih kepada Allah kerana mewajibkan kita melakukannya. Dengan penuh kerelaan kita melakukannya tanpa ada rasa terpaksa, kerana kita tahu ibadat-ibadat itu faedahnya adalah untuk kita walapun niat kita ketika melakukannya adalah kerana Allah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

ADIK-BERADIK DATUK DAN NENEK; ADAKAH MEREKA MAHRAM?

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Terima kasih atas jwpn Ustaz pd soalan yg terlebih dahulu - tentang mahram seseorang wanita & menampakkan aurat pd remaja lelaki belum baligh. Dlm catatan Ustaz, disenaraikan mahram seseorang wanita adalah: 1. Bapa dan ke atas (yakni datuk dan seterusnya ke atas) 2. Anak lelakinya dan cucu lelakinya 3. Saudara-saudara lelakinya 4. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara lelakinya 5. Anak-anak lelaki kepada saudara-saudara perempuannya 6. Bapa-bapa saudara dari sebelah bapanya 7. Bapa-bapa saudara dari sebelah ibunya. Soalan saya pula, bagi pihak Muslimah,bagaimana pula lelaki di senarai di bawah ini - adakah boleh kita berjabat tgn & menampakkan aurat? a--adik-beradik lelaki pada datuk kandung kami (sebelah bapa & ibu) b--adik-beradik lelaki pada nenek kandung kami (sebelah bapa & ibu) c--anak lelaki dari bapa saudara sebelah kedua bapa & ibu kami (yakni sepupu lelaki dari pakcik) Terima kasih Ustaz. Wassalam Jawapan; 1. Adik-beradik ...