Soalan; saya melihat ada orang mengambil wudhuk dengan
mencelup tangannya ke dalam bekas air yang kecil (timba, cebok, gayung dan
sebagainya). Adakah sah wudhuknya? Tidakkah air itu akan menjadi musta’mal?
Jawapan;
1. Mengambil wudhuk dengan
mencebuk air dengan tapak tangan dari bekas air itulah cara wudhuk Nabi SAW.
Cara itulah yang terbaik jika dapat dipraktikkan kerana ia paling menjimatkan
air.
Para sahabat (antaranya
Saidina ‘Usman RA, Abdullah bin Zaid RA, Ibnu ‘Abbas RA dan sebagainya)
menceritakan; Nabi SAW semasa mengambil wudhuk, baginda akan bermula dengan menuang
air (dari bekas) untuk membasuh tangannya tiga kali, kemudian baginda akan mencebuk air dari bekas dengan tangan kanannya
(atau kedua tangannya) untuk berkumur dan menyedut air ke dalam hidung, membasuh
muka, tangan hingga siku, kepala dan kaki, yakni bagi setiap anggota wudhuk
cebukan air berasingan (Soheh al-Bukhari; 159, 164. 186. Muslim; 226, 235).
2. Kebanyakan ulamak
mazhab Syafiie memfatwakan; hendaklah disertakan niat Ightiraf ketika
mencebuk dengan tangan itu untuk mengelak air dalam bekas kecil menjadi musta’mal.
Menurut mazhab Syafiie dan Ahmad; air musta’mal tidak lagi sah digunakan untuk bersuci.
Niat I’tiraf ialah meniatkan tangan sebagai pencebuk atau pemindah air. Cukup niat
itu hadir dalam hati sahaja, tidak perlu dilafazkan (lihat; Nihayah al-Muhtaj
dan Mughni al-Muhtaj).
Namun ada juga ulamak mazhab
Syafiie (antaranya Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dan Imam Ibnu al-Attar) berpandangan;
tidak perlu niat ightiraf itu,
kerana tidak ada sahabat menceritakan Nabi SAW melakukannya atau menyuruhnya
(lihat; Fathul Bari dan Al-‘Uddah).
3. Bagi jumhur Fuqahak
(antaranya Imam Malik, az-Zuhri, al-Auza’ie, Abu Tsur dan Imam Daud) yang
berpandangan; air musta’mal masih sah digunakan untuk menyucikan hadas, perbahasan
tentang niat ightiraf tadi tidak timbul.
4. Walaupun kita
menyatakan cara Nabi itu adalah terbaik, tidaklah bermakna kita berpandangan; mengambil
wudhuk terus dari pili tidak baik dan dilarang. Tidak dinafikan bahawa
mengambil terus dari pili/paip lebih mudah bagi orang hari ini. Namun hendaklah
elak pembaziran air, iaitu dengan mengecil air yang keluar; sekadar yang
diperlukan sahaja.
Sentiasalah ingat bahawa
Nabi SAW hanya menggunakan satu cupak air sahaja untuk wudhuknya (Soheh
al-Bukhari; 201. Muslim; 325). Iaitu lebih kurang 1 liter air.
Rujukan;
1. Tuhfah al-Muhtaj (Imam Ibnu Hajar
al-Haitami), 1/70.
2. Mughni al-Muhtaj (Imam al-Khatib
as-Syirbini), 1/124.
3. Fathul Bari (Imam Ibnu Hajar
al-Asqalani), 1/269.
4. Syarah Soheh Muslim (Imam
an-Nawawi), 3/125.
5. Al-‘Uddah syarh ‘Umdatil Ahkam
(Imam Ibnu al-Attar), 1/93 dan 99.
6. Mausu’ah Masail al-Jumhur (Dr.
Muhammad Na’im Sa’ie), 1/40.
Ulasan