Soalan; Assalamu'alaikum Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, guru yg saya muliakan krn ALLAH TA'ALA.
Mohon pencerahan mengenai solat jama'/qasr dan status bermukim dan musafir :
Jika kita ada dua rumah satu di Perlis satu di Selangor dan kita selang seli berada di kedua tempat, adakah keduanya dianggap kediaman di mana apabila sampai shj dari pemusafiran dah x boleh jama'/qasr?
Dgn kata lain, adakah sebaik tiba dari pemusafiran di kedua rumah berkenaan status kita otomatik menjadi bermukim?
Atau adakah rumah yg kita tinggal lebih lama tu sahaja yg dianggap kediaman manakala rumah kita dok balik sekali sekala tu dah x dianggap kediaman?
JAWAPAN;
Orang yang ada dua rumah, jika dia tinggal menetap di satu rumah dan satu rumah lagi dia hanya bertandang ke situ sekali sekala sahaja, maka rumah pertama yang dikira tempat mastautinnya (yakni kediaman tetapnya). Di situ tidak harus dia menjamakkan dan mengqasarkan solat. Adapun di rumah satu lagi, jika ia bertandang ke situ, harus baginya jamak dan qasar solat jika jarak dari rumah pertamanya ke situ melebihi 2 marhalah (90KM) dan dia tidak berhasrat/berniat menetap di situ 4 hari penuh (tidak termasuk hari tiba dan hari akan keluar). Jika dia berhasrat tinggal di situ 4 hari penuh, tidak harus lagi dia melakukan jamak dan qasar sebaik sampai di situ kerana dia telah menjadi muqim (yakni orang yang tinggal di satu tempat dalam tempoh yang lama).
Adapun jika ia tinggal di kedua-dua tempat/rumah (yakni berulang alik), maka kediaman mastautinnya ialah di rumah paling lama dia menetap di situ. Jika tempoh menetapnya di kedua-dua rumah adalah sama, maka hendaklah dilihat pula di rumah mana menetap isteri dan anak-anaknya, maka rumah itu di kira/dianggap kediaman mastautinnya. Jika di kedua-dua tempat terdapat isteri dan anak-anaknya, maka kedua-dua rumah itu dikira kediaman mastautinnya dan tidak harus dia melakukan jamak dan qasar sebaik tiba di kedua-dua kawasan kediaman tersebut. Yakni, dia hanya dibolehkan jamak dan qasar dalam perjalanan sahaja jika jarak di antara dua kawasan itu mencapai 2 marhalah (90 KM).
Wallahu a'lam.
Rujukan;
Ulasan