ADAKAH MENANTU TIRI MERUPAKAN MAHRAM?
Soalan:
Seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita yang mempunyai anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu. Anak lelaki tersebut kemudiannya berkahwin. Adakah isteri kepada anak tirinya itu menjadi mahram kepadanya?
Jawapan:
Isteri kepada anak tiri lelaki (menantu tiri) bukan mahram kepada bapa tiri suaminya. Ini kerana hubungan perkahwinan yang mengharamkan seseorang lelaki berkahwin dengan menantunya hanya melibatkan isteri kepada anak lelaki daripada keturunannya sendiri, bukan isteri kepada anak tiri.
Firman Allah SWT:
وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ
“Dan (diharamkan ke atas kamu berkahwin dengan) isteri-isteri anak lelaki kamu yang berasal daripada keturunan kamu sendiri.”
(Surah al-Nisa', ayat 23)
Dalam kitab I‘anah al-Talibin, dijelaskan bahawa antara wanita yang tidak haram dikahwini kerana hubungan kekeluargaan ialah:
Anak perempuan kepada suami ibu (bapa tiri), begitu juga ibu kepada bapa tiri.
Anak perempuan kepada suami anak perempuan (menantu lelaki), begitu juga ibu kepada menantu lelaki.
Ibu kepada isteri bapa, begitu juga anak perempuannya.
Ibu kepada isteri anak lelaki, begitu juga anak perempuannya.
Isteri kepada anak tiri lelaki (زَوْجَةُ الرَّبِيبِ).
Isteri kepada bapa tiri (زَوْجَةُ الرَّابِّ).
(I‘anah al-Talibin, 3/336)
Berdasarkan penjelasan tersebut, isteri kepada anak tiri lelaki tidak menjadi mahram kepada bapa tiri suaminya. Oleh itu, kedua-duanya wajib menjaga batas pergaulan sebagaimana antara lelaki dan wanita ajnabi, termasuk menjaga aurat, tidak bersalaman dan tidak berkhalwat.
Kesimpulannya, hubungan menantu tiri tidak mewujudkan hubungan mahram, kecuali jika terdapat sebab lain yang menjadikan mereka mahram, seperti hubungan nasab atau susuan.
Wallahu a‘lam.
Ahmad Adnan Fadzil,
Akademi al-Quran Imam al-Syafiie (AQIS)
aqis.com.my
Ulasan