Tuesday, 22 January 2008

KANAK-KANAK BERSAMA DALAM SAF ORANG DEWASA

Soalan; Bolehkah seorang kanak-kanak yang berumur tujuh tahun yang telah bersunat tetapi belum baligh bersama-sama saf orang dewasa?

Jawapan;

Seorang sahabat iaitu Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- menceritakan; “Aku bersama seorang anak yatim telah menunaikan solat di belakang Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- di rumah kami, sementara ibuku Ummu Sulaim berdiri di belakang kami”. (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, para ulamak menyimpulkan bahawa jika makmum yang ingin mengerjakan solat itu terdiri dari seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak, maka mereka berdua hendaklah berdiri di belakang imam dalam satu saf. Jika terdapat perempuan, maka ia hendaklah berdiri di belakang mereka.

Jika sekiranya makmum terdiri dari kumpulan lelaki dewasa, kumpulan kanak-kanak dan kumpulan wanita, maka aturannya ialah; saf lelaki dewasa di belakang imam, diikuti dengan saf kanak-kanak dan hujung sekali saf wanita. Ini berdasarkan hadis dari Abi Malik as-Asy’ari –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan;

“Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- meletakkan orang-orang dewasa di saf hadapan, kanak-kanak di belakang mereka dan para wanita di belakang saf kanak-kanak”. (Riwayat Imam Ahmad)

Namun menurut Syeikh al-Albani; hadis di atas sanadnya adalah dhaif. Menurut beliau tidak ada hadis lain yang menyuruh agar kanak-kanak diletakkan di belakang saf orang dewasa melainkan hadis di atas, akan tetapi sanadnya adalah dhaif dan tidak harus dijadikan hujjah. Oleh itu, beliau menegaskan; “Aku berpandangan bahawa harus kanak-kanak berdiri bersama orang dewasa di dalam satu saf jika terdapat ruang pada saf. Solat seorang anak yatim bersama Anas bin Malik –radhiyallahu ‘anhu- di belakang Nabi (iaitu hadis pertama di atas) merupakan hujjah dalam masalah ini”.

Menurut Imam as-Syaukani; kanak-kanak di letakkan di belakang saf orang dewasa jika bilangan mereka ramai (yakni lebih dari seorang). Adapun jika ia seorang sahaja, maka ia hendaklah berdiri bersama saf orang dewasa berdalilkan hadis pertama tadi. Berkata Imam al-Baghawi; jika seorang kanak-kanak bersama orang dewasa dalam saf, kemudian datang seorang lelaki, janganlah ia menolak kanak-kanak itu ke sisi (yakni hendaklah ia menunaikan solat di tepi kanak-kanak itu dengan menyambung saf darinya).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. At-Tahzib Fi Fiqhi al-Imam as-Syafi’ie, Imam al-Baghawi, jil. 2, hlm. 278.
2. Ad-Darari al-Madhiyyah, Imam as-Syaukani, hlm. 139.
3. Nailul Autar, Imam as-Syaukani, juz. 3, Kitab as-Solah, bab Mauqif as-Shibyan wa an-Nisa Minar-Rijal.
4. Tamam al-Minnah Fi at-Ta’liq ‘Ala Fiqh as-Sunnah, Syeikh Nasiruddin al-Albani.

0 ulasan: