Selasa, 30 Mei 2017

ADAKAH PUASA ORANG TAK SOLAT DITERIMA ALLAH?

Soalan; Orang yang tidak mengerjakan solat lima waktu, bagaimana dengan puasanya? adakah sah? dan adakah diterima Allah?

Jawapan;

Dari segi ilmu fiqh, ibadah yang dilakukan dengan memenuhi syarat-syarat dan rukun-rukunnya, ibadat itu dikira sah (gugur kewajipan dari pelakunya dan tidak perlu lagi diulangi). Namun, ibadat yang sah dari segi fiqh, belum tentu diterima Allah (yakni diberi pahala), kerana di dalam al-Quran dan hadis ada disebutkan factor-faktor luaran yang menyebabkan amalan ditolak (tidak diberi pahala). Sebagai contohnya, Nabi SAW bersabda;

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
“Sesiapa bertemu tukang tilik, lalu bertanyakan sesuatu (dari tilikan), tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Soheh Muslim; 2230/125. Dari beberapa isteri Nabi RA).

Menurut Imam an-Nawawi; maksud ‘tidak diterima solatnya’ ialah; tidak ada pahala untuknya sekalipun solatnya dikira (iaitu gugur kefardhuan darinya dan tidak perlu lagi dia mengulanginya) (lihat; Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, 14/227, hadis no. 2230/125).

Khusus berkaitan dengan orang yang meninggalkan solat, Nabi SAW bersabda;

مَنْ تَرَكَ صَلاَةَ العَصْرِ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ
“Sesiapa meninggalkan solat asar (dengan sengaja), sesungguhnya rosaklah amalannya” (Soheh al-Bukhari; 553. Dari Buraidah RA).

Menurut ulamak; maksud ‘rosaklah amalannya’; batal pahala amalannya (lihat; Minhatul Bari syarh Soheh al-Bukhari, Syeikh Zakaria al-Ansari, 2/268, hadis no. 553).

Jika meninggalkan satu solat sahaja amalan sudah binasa/rosak, bagaimana dengan  meninggalkan kesemua solat. Maka hadis di atas perlu menjadi peringatan kepada orang yang melakukan kebaikan (termasuk puasa) namun enggan solat, kemungkinan besar kebaikan mereka ditolak oleh Allah selama mereka tidak bertaubat (dengan kembali mengerjakan solat).

Apatahlagi puasa diperintahkan Allah dengan tujuan agar orang yang berpuasa bertakwa kepada Allah (lihat; surah al-Baqarah, ayat 183). Tanda ketakwaan yang paling dasar –setelah syahadah- ialah mengerjakan solat lima waktu. Jika kita berpuasa kerana takwa, tidak akan tergamak kita meninggalkan solat kerana kewajipan solat lebih besar dari kewajipan puasa. Di awal surah al-Baqarah, Allah menyebutkan antara ciri orang bertakwa ialah; ‘Orang-orang yang sentiasa mendirikan solat’ (lihat; ayat 3).

Wallahu a’lam.


Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...