Selasa, 25 November 2008

MEMBAYAR ZAKAT KEPADA ADIK-BERADIK DAN KEPADA ISTERI

Soalan; ust, saya ada dua soalan:
1- Bolehkah bayar zakat kepada sanak saudara yang hampir seperti adik beradik sendiri?
2- Bolehkah ister bayar zakat kepada suami atau sebaliknya?

Jawapan;

Menurut pandangan yang paling masyhur di kalangan ulamak; orang-orang yang wajib kita menanggung nafkah mereka, tidak harus kita memberi zakat kita kepada mereka. Menurut mazhab Syafi’ie; orang-orang yang wajib dinafkahi terdiri dari;
1. Zuriat kita; merangkumi anak, cucu dan cicit.
2. Asal kita; merangkumi bapa, ibu, datuk, nenek dan sebagainya
3. Isteri

Ahli-ahli keluarga di atas tidak harus kita memberi zakat kepada mereka. Adapun ahli-ahli keluarga yang lain yang tidak wajib kita menanggung nafkah mereka seperti saudara-saudara (yakni adik, abang atau kakak), bapa saudara, ibu saudara, anak saudara dan sebagainya harus kita memberi zakat kita kepada mereka dengan syarat mereka termasuk dalam lapan golongan yang layak terima zakat. Sila baca juga jawapan saya sebelum ini; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/zakat-kepada-adik-beradik-yang.html) dan (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/bayar-zakat-kepada-ibubapa.html).

Adapun seorang wanita memberi zakat kepada suaminya (yang fakir atau miskin), terdapat tiga pandangan dari ulamak;

1. Menurut mazhab Syafi’ie, Ibnu al-Munzir dan as-Sauri; harus kerana isteri tidak wajib menanggung nafkah suaminya. Malah pahala yang ia perolehi dengan memberi zakat kepada suami lebih besar dari ia memberinya kepada orang lain berdalilkan hadis dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; “Zainab isteri Ibnu Mas’ud r.a. datang kepada Nabi s.a.w. dan berkata; ‘Wahai Nabi Allah, engkau telah memerintahkan hari ini agar kami bersedekah. Aku mempunyai satu perhiasan milikku, maka aku ingin bersedekah dengannya’. Ibnu Mas’ud (suaminya) mengadu kepada Rasulullah s.a.w. bahawa dia dan anaknya paling layak untuk memberi sedekah isterinya itu. Lalu Nabi berkata kepada Zainab; “Benarlah Ibnu Mas’id. Suami kamu dan anak kamu lebih berhak dengan sedekah kamu itu”. (HR Imam al-Bukhari).

2. Imam Abu Hanifah berpandangan; tidak harus kerana besar kemungkinan zakat itu akan kembali kepadanya apabila suaminya menggunakan wang zakat itu untuk membeli makanan, pakaian atau sebagainya lagi dari perbelanjaan keluarga. Berkenaan hadis tadi, Imam Abu Hanifah menganggap sedekah yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah sedekah sunat, bukan zakat yang diwajib.

3. Menurut kebanyakan ulamak mazhab Maliki pula; membayar zakat kepada suami adalah makruh.

Walahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/512.
2. Fiqh az-Zakah, Syeikh ‘Abdurrazzaq Nashir Muhammad, hlm. 150.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Kenapa asyik menurut mazhab , menurut Allah macamana? adakah perkataan manusia lebih benar dari Yang Maha Esa

Anugerah Berharga berkata...

Nak ikut Allah macamne kalu Quran pun tak reti nak baca, inikan pula nak istinbat hukum...ppelah ante ni..

Unknown berkata...

Assalamualaikum, saya ad satu soalan... Sye dh bekerja tetap dan mampu membayar zakat untk diri saya sendiri dan ibu bapa saya... Soalan saya... Bolehkah saya bayarkan zakat untuk adk perempuan saya skli sedangkan ayah saya masih hidup... Trima kasih

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...