Langkau ke kandungan utama

MEMUAT-TURUN FILEM DAN LAGU BUKAN DARI SUMBER ASLI

Soalan; ustaz adakah HALAL memuat turun lagu atau filem yang tidak bercanggah dengan syariat tetapi bukan dari sumber yang asli?

Jawapan;

Islam menjaga hak milik manusia. Termasuk hak milik ialah hak penulisan, hak rekaan/ciptaan dan hak kreativiti. Tidak harus kita mengambil atau mencuri hak orang lain tanpa keizinan/kerelaannya. Sabda Nabi s.a.w.; “Tidak halal harta seorang muslim melainkan dengan kerelaan hatinya” (HR Imam Daruqutni dari Anas r.a.). Baginda juga bersabda; “Sesungguhnya harta-harta dan darah-darah (yakni naywa-nyawa) semasa kamu adalah haram ke atas kamu (merampas dan mencerobohinya)” (HR Imam Ahmad dari Abi Sa’id al-Khudri r.a.).

Hak-hak tersebut walaupun tidak dinamakan harta pada bahasa pertuturan biasa, namun dari segi makna ia juga adalah harta melihat kepada nilai dan manfaatnya. Kerana itu, dalam istilah sekarang ini ia dinamakan harta intelek. Kesimpulannya, filem-filem dan lagu-lagu yang tidak bercanggah dengan Syari’at tidak harus dijual, dibeli atau dimiliki kecuali dengan keizinan atau kerelaan pemiliknya atau orang yang dilantik menjadi wakil atau orang tengah oleh pemiliknya.

Baca fatwa ulamak dalam jawapan saya yang lalu tentang hukum membeli barang cetak rompak; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/08/membeli-barangan-cetak-rompak.html).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Dr. Muhammad Bakr Ismail, hlm. 288.
2. Al-Wajiz Fi Syarhi al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 162.

Ulasan

An-nur furqan berkata…
salam..ustaz saya ada beberapa soalan mengenai faraid..


situasi 1

seorang wanita telah kematian suaminya dan mempunyai seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki.semasa sedang sakit dia telah mewasiatkan semua hartanya kepada anak saudara perempuannya.dia mempunyai sebidang tanah dan telah ditukar milik kepada nama adik lelakinya yang merupakan ayah kepada anak saudaranya kerana pada masa itu anak saudaranya masih kecil untuk menguruskan harta.jadi setelah beliau meninggal dunia..dan sekarang anak saudaranya telahpun berusia 22 tahun. adiknya sekarang masih lagi tidak pasti sama ada perlu menyerahkan harta wasiat itu kepada anaknya berdasarkan wasiat si mati ataupun hendak menyerahkan kepada anak si mati..kerana menurut hukum yang beliau fahami harta si mati adalah lebih layak untuk anaknya berbanding anak saudaranya..jadi adakah beliau perlu mengikut turutan waris yang lebh layak ataupun perlu menyerahkan mengikut wasiat si mati...


situasi 2

seorang petani setiap kali mempunyai duit hasil titik peluhnya, beliau memasukkan duit itu ke dalam bank untuk kegunaan dirinya dan anaknya yang masih belajar di universiti. sekarang jumlah wang itu telah melebihi 8.5g emas..mengikut apa yang diketahuinya apabila wang simpanan telah melebihi nilai ini.perlu dibayar zakat wang simpanan. namun beliau masih kurang pasti sama ada beliau perlu membayar zakat atau tidak.ini kerana ada sesetengah pendapat yang mengatakan wang itu tidak dikira simpanan tetap kerana kadang-kadang beliau keluarkan duit itu untuk kegunaan harian dan pengajian anaknya..akan tetapi sesetengah pendapat lagi mengatakan yang jika jumlah terendah tahunan tetap melebihi nilai 8.5 g emas. beliau perlu keluarkan zakat sebanyak 2.5 % daripada nilai wang terendah.pendapat mana yang lebih benar???

situasi 3

lebih kurang kepada situasi 1, seorang nenek telah berkata kepada anaknya yang memegang sejumlah wangnya untuk menggunakan wang itu untuk kegunaan cucunya yang sedang belajar di universiti.tapi duit itu tetap disimpan anaknya sehinggalah nenek itu meninggal dunia.sekrang adakah duit itu menjadi milik cucunya..atau perlu dibahagikan kepada anak-anaknya yang lain yang masih hidup..kerana mengikut faraid..anak lebih berhak dari cucu..

Catatan popular daripada blog ini

MELAKUKAN SOLAT QADHA SELEPAS SOLAT ASAR

Soalan; Assalamualaikum Ustaz. Saya ada sedikit kemusykilan tetang menggantikan ibadah solat (qada) yang tertinggal. Jika saya tertinggal menunaikan solat Asar kerana sebab tertentu bolehkan saya menggantikan solat tersebut setelah selesai menunaikan Solat Fardu Asar atau saya perlu menggantikannya pada waktu solat yang lain seperti Maghrib atau Isyak kerana saya pernah terbaca di dalam kitab bahawa setelah menunaikan Solat Subuh dan Solat Asar tidak dibenarkan menunaikan sebarang solat lain (waktu haram bersolat ). Terima kasih. Jawapan; Solat yang dilarang untuk dikerjakan selepas kita mengerjakan solat subuh dan solat asar ialah solat-solat yang tidak bersebab. Adapun solat-solat bersebab, diharuskan kita mengerjakannnya pada bila-bila masa termasuk pada waktu dilarang solat. Di antara solat bersebab ialah solat qadha (yakni solat ganti kepada solat fardhu atau solat sunat yang luput waktunya). Jadi -merujuk kepada soalan saudara-, adalah harus selepas saudara menunaikan solat Asar...

SOLAT TERLEBIH RAKAAT; Perlukah diulangi?

Soalan; ustaz, adakah perlu ulang semula solat yang terlebih rakaat? Jawapan; Jika tertambah rakaat solat secara tidak sengaja (yakni kerana lupa), jika disedari selepas solat tidaklah dituntut mengulangi solat. Cuma jika disedari sebaik sahaja selesai solat (yakni tidak lama masa selepas memberi salam), hendaklah sujud sahwi. Adapun jika disedari setelah masa yang lama selepas habis solat, tidak perlu lagi sujud sahwi. Terdapat hadis dari ‘Alqamah bin ‘Abdillah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- telah menunaikan solat sebanyak lima rakaat. Lalu baginda ditegur oleh sahabat; “Ya Rasulullah, apakah solat telah ditambah (bilangan rakaatnya)?”. Baginda menjawab; “Tidak”. Lalu sahabat berkata; “Tetapi engkau telah mengerjakan solat sebanyak lima rakaat”. Rasulullah lantas sujud dua rakaat. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Berkata Imam an-Nawawi –mengulas hadis ini-; Hadis ini menjadi dalil kepada jumhur ulamak (terdiri dari Imam Malik, Syafiie...

SOLAT TANPA MEMBACA SURAH ATAU AYAT LAIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan; assalamualaikum ustaz.. saya musykil dalam sembahyang.. jika kita solat berjemaah.. rakaat pertama hingga terakhir hanya membaca al fatihah.. adakah cara itu betul.. jika saya sembahyang berseorangan, saya akan membaca al fatihah dan surah lain pada rakaat pertama dan kedua.. pada rakaat ketiga dan keempat saya hanya membaca al fatihah.. adakah cara saya itu betul.. adakah jika saya sembahyang setiap rakaat saya perlu membaca al fatihah beserta dengan surah lain.? saya betul2 musykil sehinggakan saya rasa sembahyang saya tidak diterima oleh allah.. tolong la saya ustaz.. Jawapan; Mengenai membaca surah atau ayat (di dalam solat) selepas al-Fatihah, perincian tentangnya adalah seperti berikut; 1. Hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Bacaan al-Quran yang wajib di dalam solat hanyalah surah al-Fatihah sahaja. Adapun membaca surah atau ayat selepasnya, hukumnya adalah sunat. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang membaca ummul-Kitab (surah al-Fatihah), maka mencuk...