Monday, January 31, 2011

HAK JAGAAN ANAK BERUMUR 12 TAHUN

Soalan; Bagaimana hak jagaan anak yang telah berumur 12 tahun? Siapakah yang lebih berhak; bapa atau ibu? Bagaimana dengan nafkah dan hak menziarahi anak? Haruskah bapa menghalang ibu dari menziarahi anaknya?

Jawapan;

1. Apabila anak telah mencapai umur mumayyiz dan dapat melakukan sendiri keperluan-keperluan asasnya (yakni dapat makan, memakai pakaian dan membersih diri dengan sendiri), menurut mazhab Syafiie; anak tersebut berhak memilih sama ada untuk tinggal bersama bapa atau ibunya. Ini berdalilkan hadis dari Abu Hurairah –radhiyallahu ‘anhu- yang menceritakan; Seorang perempuan datang kepada Nabi bersama anak lelakinya. Ia mengadu kepada Nabi tentang suaminya yang ingin merampas anak itu darinya. Nabi lalu berkata kepada anak itu; “Ini adalah bapamu dan ini adalah ibumu. Peganglah tangan mana satu dari mereka berdua yang kamu suka”. Lalu ia memegang tangan ibunya dan ibunya pun membawanya pergi”. (Riwayat Imam Abu Daud).

2. Walau bagaimanapun, hak penjagaan terhadap anak bergantung kepada kemaslahatan anak tersebut. Jika kedua-dua ibu dan bapa mempunyai kelayakan untuk menjaga kebajikan si anak, barulah diberi pilihan kepada si anak. Jika mana-mana pihak tidak mempunyai kelayakan –seperti mempunyai masalah mental, tidak mempunyai kemampuan (fizikal, masa dan kemudahan hidup), fasik/jahat dan sebagainya-, hak jagaan tidak harus diserahkan kepadanya, akan tetapi diserahkan kepada pihak satu lagi atau pihak lain yang dapat menjaga si anak dengan baik.

3. Jika si anak memilih untuk tinggal bersama ibunya, bapa hendaklah meneruskan nafkah selagi anak memerlukan (yakni sebelum ia dapat berdikari dan mempunyai kewangan sendiri). Tidak harus bapa memutuskan nafkah dengan alasan si anak tidak memilih untuk tinggal bersamanya kerana nafkah anak adalah kewajipan bapa selama anak itu memerlukan tidak kira sama ada anak itu tinggal dengannya atau dengan orang lain.

4. Mana-mana pihak (dari ibu atau bapa) yang diberi hak jagaan tidak harus menghalang pihak lain untuk menziarahi si anak. Dalam bahasa lain, tidak harus ibu menghalang bapa dari menziarahi anaknya dan begitu juga, tidak harus bapa menghalang ibu dari menziarahi anaknya. Malah wajib kedua mereka saling berkerjasama untuk kemaslahatan anak mereka dan tidak membabitkan si anak dalam pertikaian antara mereka serta tidak menjadikan anak sebagai mangsa untuk melepaskan protes atau kemarahan antara satu sama lain. Firman Allah (bermaksud); “Janganlah (menjadikan) seseorang ibu itu menderita kerana anaknya, dan (jangan juga menjadikan) seseorang bapa itu menderita kerana anaknya” (al-Baqarah, ayat 233).

Dari Abi Ayyub al-Ansari r.a.; aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda; “Sesiapa memisahkan antara ibu dan anaknya, Allah akan memisahkannya dengan orang-orang yang dikasihi pada hari kiamat nanti” (Riwayat Imam at-Tirmizi. Hadis hasan gharib).

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqh as-Syafi’ie al-Muyassar, Syeikh Sayyid bin Abdullah at-Tidi, hlm. 213.

Sunday, January 30, 2011

LAFAZ KINAYAH DAN MAKNA NIAT

Soalan; Assalammualaikum,. Mohon Bertanya; sorang suami terpaksa pergi outstation untuk beberapa bulan, isterinya menghantar beliau ke stesen keretapi, sebelum naik keretapi suami itu berkata "abang pergi dulu", tetiba terdetik hatinya talaq, mungkin sebab was-was atau lintasan hati, adakah lafaz abang pergi dulu tu dikira lafaz kinayah? perkara yang terdetik di hati tu adakah boleh dikira niat? sedang sebenarnya dia tidak mahu mentalaqkan isterinya?

Jawapan;

Lafaz kinayah talak ialah lafaz yang boleh diertikan cerai dan boleh diertikan selain cerai. Kerana itu, ia bergantung kepada niat suami ketika melafazkannya. Maksud niat ialah apa yang terdetik di dalam hati ketika melafazkan sesuatu atau melakukan sesuatu. Adapun lintasan hati, ia bukanlah niat. Ia hanyalah melintas di dalam hati, kemudian berlalu pergi. Berbeza dengan niat di mana ia bukan sekadar melintas, akan tetapi menetap di dalam hati (yakni hati menerima dan menghendakinya) dan darinya melahirkan tindakan atau ucapan.

Wallahu 'lam.

LAFAZ SALAM

Soalan; Assalamualaikum ustaz. Semalam saya telah di tegur oleh sorang sahabat saya, dia cakap tidak boleh ucap 'SALAM' dan dia beri dalil:-

"Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)". Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89)"

Benarkan tidak boleh ucap Salam. Harap ustaz memberi penjelasan .. jazakallah

Jawapan;

Ucapan salam (sama ada “Salaamun ‘Alaikum” atau “Salaaman” atau “Salaamun”) di dalam al-Quran ada yang ditujukan kepada orang mukmin dan ada yang ditujukan kepada orang kafir atau jahil. Contoh bagi ucapan salam yang ditujukan kepada orang mukmin ialah;

وَإِذَا جَاءكَ الَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِنَا فَقُلْ سَلاَمٌ عَلَيْكُمْ كَتَبَ رَبُّكُمْ عَلَى نَفْسِهِ الرَّحْمَةَ
“Dan apabila datang kepadamu orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, maka katakanlah kepada mereka: ‘Salaamun ‘Alaikum’ (selamat sejahtera ke atas kamu). Tuhan kamu telah menetapkan bagi diriNya untuk memberi rahmat’” (Surah al-An’am, ayat 54).

دَعْوَاهُمْ فِيهَا سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيهَا سَلاَمٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
“Doa ucapan mereka (yakni orang-orang beriman dan beramal soleh) di dalam Syurga itu ialah; ‘Maha Suci Engkau dari segala kekurangan wahai Tuhan!’. Dan ucapan penghormatan mereka di dalam Syurga itu ialah: ‘Salaamun’ (selamat sejahtera). Dan akhir doa mereka ialah; ‘Segala puji dipersembahkan kepada Allah yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam’”. (Surah Yunus, ayat 10)

Contoh ucapan salam yang ditujukan kepada orang kafir atau jahil pula;

وَإِذَا سَمِعُواْ اللَّغْوَ أَعْرَضُواْ عَنْهُ وَقَالُواْ لَنَآ أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلاَمٌ عَلَيْكُمْ لاَ نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ
“Dan apabila mereka (yakni orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Allah) mendengar perkataan yang sia-sia (dari orang kafir), mereka berpaling daripadanya sambil berkata: ‘Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu. ‘Salaamun ‘Alaikum’ (selamat tinggallah kamu). Kami tidak ingin berdamping dengan orang-orang yang jahil” (Surah al-Qasas, ayat 55)

وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْناً وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَاماً
“Dan hamba-hamba Allah yang maha rahman, iaitu mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun. Dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka berkata; “Salaaman” (al-Furqan, ayat 63).

فَاصْفَحْ عَنْهُمْ وَقُلْ سَلَامٌ فَسَوْفَ يَعْلَمُونَ
“Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) hiraukan mereka dan katakanlah: ‘Salaamun’. Mereka akan mengetahui kelak” (az-Zukhruf, ayat 89).

Para ulamak tafsir menjelaskan; ucapan Salam apabila dituturkan ia berada di antara dua makna;
1. al-Musalamah/al-Mutarakah; iaitu bermaksud selamat tinggal
2. at-Tahiyyah; iaitu bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan.
(lihat; Ahkam al-Quran, Imam al-Jassas, surah al-Qasas, ayat 55).

Maka apabila ucapan salam itu dituju/diberikan kepada orang kafir atau orang-orang jahil dalam ayat-ayat tadi, maka ia bermaksud mengucapkan selamat tinggal kepada mereka, yakni kita tidak mahu bersekongkol dengan kesesatan dan kejahilan mereka atau kita membiarkan mereka dengan kejahilan dan kejahatan mereka. Adapun apabila ucapan salam itu diucapkan kepada orang-orang beriman atau kepada ahli-ahli syurga dalam ayat-ayat tadi, maka ia bermaksud mendoakan keselamatan dan keamanan atau memberi penghormatan.

Adakah harus kita memberi salam dengan hanya menyebutkan “Salam” sahaja? Persoalan ini kita akan huraikan di bawah.

LAFAZ-LAFAZ MEMBERI SALAM

1. Lafaz memberi salam yang terbaik ialah;

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Lafaz menjawab salam yang terbaik ialah;

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Diriwayatkan dari Imran Bin Hushain menceritakan; Seorang lelaki datang kepada Nabi –sallalallahu ‘alaihi wasallam- dan memberi salam dengan mengucapkan; Assalamu ‘alikum (السلام عليكم). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat sepuluh ganjaran”. Kemudian datang lelaki yang kedua dan memberi salam dengan berkata; “Assalamu ‘alaikum warahmatullah” (السلام عليكم ورحمة الله). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 20 ganjaran”. Kemudian datang lelaki yang ketiga dan memberi salam; Assalamu ‘alaikum warahmatullahi wa barakaatuh” (السلام عليكم ورحمة الله وبركاته). Nabi menjawab salamnya dan berkata; “Ia mendapat 30 ganjaran” (HR Imam ad-Darimi, Abu Daud dan at-Tirmizi. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Sebahagian ulamak berkata; sebaiknya orang yang memberi salam hanya berhenti pada “warahmatullah” untuk memberi peluang kepada orang yang menjawab untuk membalas dengan yang lebih baik iaitu sehingga “…wa barakaatuh” sebagai menyahut seruan Allah dalam firmanNya (bermaksud); “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)” (an-Nisa’, ayat 86).

2. Sekurang-kurang lafaz memberi salam ialah; Assalamu alaikum (السلام عليكم) sebagaimana dalam hadis tadi. Diharuskan juga dengan lafaz Salaamun ‘Alaikum (سلام عليكم) yakni tanpa “As” iaitu sebagaimana salam para malaikat kepada ahli-ahli Syurga yang diceritakan Allah di dalam al-Quran;

وَقالَ لَهُمْ خَزَنَتُها سَلامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوها خالِدِينَ
“Dan penjaga-penjaga syurga mengalu-alukan mereka dengan kata-kata: Salaamun ‘Alaikum (Salam sejahtera kepada kamu), berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk). (Surah az-Zumar, ayat 73)

سَلَامٌ عَلَيْكُمْ بِمَا صَبَرْتُمْ فَنِعْمَ عُقْبَى الدَّارِ
“Salaamun ‘Alaikum (Selamat sejahteralah kamu), disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu” (Surah ar-Ra’du, ayat 24).

Berkata Imam Abu al-Hasan al-Wahidi; “Kamu boleh memilih sama ada hendak menuturnya dengan ma’rifah (yakni dengan ada “As”) atau dengan nakirah (yakni tanpa “As”)”. Berkata Imam an-Nawawi; “Menuturnya dengan ada “As” adalah lebih baik”. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi).

3. Adakah harus memberi salam dengan sekadar menyebutkan “Salaam” sahaja (tanpa ‘Alaikum)? Imam Ibnu ‘Athir dalam kitabnya al-Nihayah menyebutkan tiga lafaz salam;
a) As-Salamu Alaikum
b) Salaamun ‘Alaikum
c) Salaamun (tanpa Alaikum)

Jadi berdasarkan kenyataan Ibnu Athir ini, lafaz “Salaamun” (سلام) juga harus digunakan untuk memberi salam. Di dalam al-Quran ada ayat menceritakan para malaikat memberi salam kepada Nabi Ibrahim dengan lafaz “Salaaman” (سلاما) dan Nabi Ibrahim menjawab dengan lafaz “Salaamun” (سلام). Ayat tersebut ialah;

وَلَقَدْ جَاءتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُـشْرَى قَالُواْ سَلاَماً قَالَ سَلاَمٌ
“Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim dengan membawa berita yang menggembirakan, lalu mereka memberi salam dengan berkata: ‘Salaaman (salam sejahtera)’. Nabi Ibrahim menjawab; ‘Salaamun’’ (salam sejahtera)” (Surah Hud, ayat 69).

Namun ada ulamak berpandangan; lafaz “Salaamun” tidak memadai sebagai lafaz salam kerana ia bukan ucapan yang sempurna. Jika seseorang memberi salam dengan hanya menyebut lafaz itu sahaja, tidak sah salamnya dan tidak wajib dijawab. Mengenai ayat 69 (surah Hud) di atas, ayat tersebut bukanlah bertujuan menceritakan tentang lafaz salam malaikat dan Nabi Ibrahim, akan tetapi hanya menceritakan perbuatan memberi dan menjawab salam antara malaikat dan Nabi Ibrahim. Adapun lafaz salam, maka ia adalah sebagaimana yang disebut dalam ayat 73 (surah az-Zumar) dan ayat 24 (sura ar-Ra’du) tadi iaitu “Salaamun Alaikum”. (Ahkam al-Quran, Imam al-Jassas, surah Hud, ayat 69).

LAFAZ-LAFAZ MENJAWAB SALAM

Lafaz untuk menjawab salam yang paling ringkas ialah;

وعليكم السلام

Jawapan salam yang paling sempurna ialah;

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

Jika dibuang wau (و) iaitu dengan menjawab “Alaikumussalam” (عليكم السلام), jumhur ulamak mazhab Syafi’ie berkata; diharuskan dan dikira menjawab salam (yakni tambahan wau itu –menurut jumhur ulamak mazhab Syafiie- adalah sunat, tidak wajib). Bagaimana jika dibuang perkataan as-Salaam, iaitu dengan kita hanya menjawab ‘Wa ‘Alaikum’ (وعليكم) sahaja? Sebahagian ulamak mazhab Syafi’ie mengharuskannya dan sebahagian mereka tidak mengharuskannya. Adapun jika dibuang wa (و) dan as-salam (السلام), iaitu dengan hanya menjawab “’Alaikum” (عليكم) sahaja, sepakat ulamak mazhab Syafi’ie melarangnya (yakni tidak harus dan tidak dikira menjawab salam).

Bagaimana jika seorang itu menjawab salam dengan lafaz sebagaimana lafaz memberi salam iaitu ia menjawab salam dengan berkata; As-Salamu ‘Alaikum (السلام عليكم) atau Salaamun ‘Alaikum (سلام عليكم)? Jawapannya adalah harus dan dikira menjawab salam (hukum ini disepakati oleh sekelian ulamak mazhab Syafiie). Ia berdalilkan hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi telah bersabda; “Allah menjadikan Adam setinggi 60 hasta. Apabila Adam selesai diciptakan, Allah berkata kepadanya; “Pergilah kamu kepada kumpulan malaikat itu dan berilah salam kepada mereka. Dengarlah apa jawapan mereka. Sesungguhnya itulah ucapan tahiyyah (aluan) untuk kamu dan zuriat kamu”. Adam pun pergi kepada mereka dan memberi salam; “As-Salamu ‘Alaikum (السلام عليكم)”. Mereka (malaikat) menjawab; “As-Salaamu ‘Alaika (السلام عليك ورحمة الله)” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim). Perhatikan; malaikat menjawab dengan jawapan yang sama seperti lafaz memberi salam, menunjukkan bahawa ia adalah harus.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 4/498-502.
2. Al-Adab as-Syar’iyyah, Imam Ibnu Muflih, 1/437.
3. Al-Azkar, Imam an-Nawawi,
4. Ahkam al-Quran, Imam al-Jassas (surah al-Qasas (ayat 55) dan surah Hud (ayat 69)).
5. An-Nihayah, Imam Ibnu Athir (perkataan “سلم”).

Friday, January 28, 2011

ZAKAT KWSP

Soalan; assalamualaikum, ustaz..sekiranya kita mengeluarkan wang daripada KWSP ,adakah wang tersebut terus di zakatkan atau tunggu sehingga cukup haul..Harap ustaz terangkan..Terima Kasih...

Jawapan;

Di antara syarat wajib zakat ialah harta yang kita miliki adalah milik sempurna. Maksud milik sempurna ialah pemilik harta berkuasa ke atas harta yang wajib dizakati di mana ia boleh menggunakan harta itu dengan kehendaknya tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain.[1] Ada sebahagian ulamak mensyaratkan juga hendaklah harta yang dimiliki itu berada di dalam tangan pemiliknya, barulah dikatakan milik sempurna dan wajib dizakati.[2]

Melihat kepada wang KWSP, walaupun wang itu adalah milik kita namun tidaklah kita boleh menggunakannya kerana ia berada di dalam simpanan orang lain dan kita terhalang dari menggunakannya melainkan setelah wang itu diserahkan kepada kita. Ia menyamai situasi di mana wang kita dihutangi oleh orang lain. Jumhur ulamak membahagikan hutang kepada dua jenis;[3]

i. Hutang yang dapat diharap pelunasannya. Hutang jenis ini hendaklah dizakati pada setiap tahun bersama harta yang lain (jika mencukupi nisabnya).

ii. Hutang yang tidak dapat diharap perlunasannya. Hutang dari jenis ini tidak wajib dikeluarkan zakat kecuali apabila orang yang berhutang melunasinya, maka wajib dikeluarkan zakat sebaik sahaja hutang itu berada dalam tangan tanpa perlu menunggu genap haul (yakni cukup tempoh dimiliki) dan begitu juga, tidak dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun yang lepas.[4]

Melihat ciri-ciri yang ada pada wang KWSP, maka ia menyamai jenis hutang yang kedua di atas. Oleh demikian, ia tidak wajib kita keluarkan zakat melainkan apabila wang itu telah kita terima. Sebaik sahaja menerimanya, hendaklah dikeluarkan zakat jika jumlahnya mencapai nisab (iaitu nilai semasa 85 gram emas). Kadar yang wajib dikeluarkan ialah 2.5% (yakni atas RM1000 dikeluarkan sebanyak RM25). Tidak perlu diqadha zakat untuk tahun-tahun yang lalu (sebelum kita menerima wang tersebut) kerana ia tidak berada dalam pemilikan kita. Adapun untuk tahun-tahun mendatang (yakni selepas kita menerima wang), jika jumlah yang tinggal masih mencapai nisab tadi, wajiblah kita mengeluarkan lagi zakat apabila genap setahun kita miliki.

Wallahu a'lam.

Nota hujung;

[1] Berdasarkan takrifan al-Milk oleh al-Kamal ibn al-Humam (lihat; Fiqh az-Zakah, 1/148).
[2] Iaitulah ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie mereka tidak mensyaratkan harta yang dimiliki berada dalam tangan pemiliknya. Memadai harta itu miliknya untuk diwajibkan zakat ke atasnya jika cukup nisab dan syarat-syarat yang lain sekalipun harta tersebut tidak berada dalam tangannya. Kesan khilaf dapat dilihat dalam masalah Mal al-Ghimar (مال الغمار) iaitu harta yang pemiliknya tidak dapat mengambil manfaat darinya kerana tidak berada dalam tangannya –walaupun harta itu secara sah diakui haknya- seperti; hutang yang diengkari dan pemiliknya tidak mempunyai saksi (untuk mensabitkan haknya ke atas orang yang berhutang) sedang tempoh haul telah pun sampai. Dalam hal ini, mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib zakat kerana pemilikan tidak sempurna disebabkan harta itu tidak berada dalam tangan pemiliknya. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan ia tetap diwajibkan zakat kerana mereka tidak mensyaratkan hal tersebut bagi pemilikan penuh. (Lihat; Al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, 1/354).
[3] Fiqh az-Zakah, 1/155-156.
[4] Fiqh az-Zakah, 1/157.

HUKUM PELIHARA IKAN HIASAN

Soalan;Salam ustaz, apakah hukum pelihara ikan hiasan. Adakah ia sama hukumnya dengan pelihara burung, kerana ada seorang ustaz menyatakan tidak boleh memelihara burung kerana menyekat kebebasannya, mohon penjelasan. Terima kasih

Jawapan;

Jika menyekat kebebasan menjadi hujjah untuk mengharamkan pemeliharaan binatang, bagaimana dengan lembu/kambing/kerbau dalam kandang atau ayam dalam reban? Wajibkah dilepaskan? Saya telah menjawab persoalan di atas dengan panjang lebar sebelum ini. Sila baca dalam blog saya (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2010/07/pelihara-burung-dalam-sangkar.html).

Wallahu a'lam.

TAUBAT DARI RIBA, HUKUM SIJIL PREMIUM DAN MASALAH FIQH YANG RUMIT

Soalan; assalamualaikum ustaz, saya ada 3 soalan.

1.Saya telah melabur dalam pelaburan berunsurkan riba,agensi tersebut telah mengalami masalah,menyebabkan saya tidak dapat mendapatkan balik modal pokok wang saya.Persoalannya adakah saya masih menanggung dosa riba tersebut dan bagaimanakah saya ingin mengelakkan dari dosa tersebut?

2.Apakah hukum cabutan sijil simpanan premium anjuran Bank Simpanan Nasional ?Dan apakah hukum dengan hadiah yang ditawarkan?

3.Saya mengidap penyakit kencing tidak lawas.Permasalahannya untuk solat saya sering bersuci sebelum masuk waktu solat,solat berjemaah,dan pernah menjadi imam di tempat kerja,baru-baru ini saya belajar dan mendapat tahu kaedah bersuci hendaklah dilakukan selepas waktu solat,dan tidak boleh menjadi imam.Hal ini berlaku bertahun-tahun.Persoalannya adakah saya perlu mengqada balik solat saya, sedangkan bilangan waktu solat pun saya tidak tahu kerana sudah bertahun-tahun.?

Jawapan;

Bertaubat dari riba

1. Riba adalah diharamkan dalam Islam dan merupakan salah satu dari dosa besar. Orang yang terlibat dengan riba sama ada memberi, menerima, menjadi saksi, juru tulis dan sebagainya mereka wajib bertaubat kepada Allah. Terdapat hadis menegaskan; "Rasulullah -sallallahu 'alaihi wasallam- telah melaknat orang yang makan riba, orang yang memberi orang lain makan riba, juru tulisnya dan dua orang yang menjadi saksinya" (HR Imam Ahmad dari Ali). Taubat ialah dengan melaksanakan rukun-rukun taubat, iaitu;
A) Meninggalkan amalan riba sepenuhnya
B) Menyesal dengan sesungguh hati atas ketelanjuran melakukan amalan riba (termasuklah terlibat dengan pelaburan berteraskan riba)
B) Berazam tidak akan mengulanginya lagi.

Bagi orang yang menerima riba dari orang lain (termasuklah keuntungan dari pelaburan yang berteraskan riba) wajiblah ia memulangkan wang riba itu kepada pemiliknya. Jika ia tidak mengetahui siapa pemiliknya, ia hendaklah memulangkannya kepada kaum muslimin dengan memilih antara dua jalan;
1. Memberinya kepada fakir/miskin di kalangan orang Islam
2. Menyalurkannya untuk kepentingan awam kaum muslimin.

Perlu dijelaskan bahawa; memulangkan wang tersebut kepada pemiliknya bukan bermaksud memulangkan kepada Bank atau Syarikat yang menjalankan pelaburan yang berteraskan riba kerana wang keuntungan/dividen yang diberikan oleh Bank atau Syarikat terbabit sebenarnya bukan wang mereka akan tetapi wang dari pelanggan mereka hasil dari bunga yang dikenakan ke atas pinjaman (oleh Bank) atau hasil dari akad yang tidak sah di sisi Syariat (yang dilakukan oleh Syarikat dengan pelanggan mereka). Sudah tentu pemilik sebenar wang riba itu sukar diketahui dan ditentukan kerana pelanggan bank atau syarikat pelaburan adalah ramai dan bertaburan. Oleh itu, tidak ada jalan lain melainkan dengan memulangkannya kepada kaum muslimin dengan memilih di antara dua jalan di atas.

Oleh kerana dalam kes saudara, tidak ada hak orang lain yang saudara ambil memandangkan pelaburan saudara mengalami kerugian, tidak ada sebarang hak orang lain yang perlu saudara pulangkan. Maka yang perlu saudara lakukan ialah bertaubat kepada Allah kerana terlibat dengan amalan riba. Semoga Allah menerima taubat kita semua.

Sijil Premium

2. Sijil Premium; hukum sijil premium berlaku khilaf (beza pandangan) di kalangan ulamak. Jumhur ulamak mengharamkannya, sementara ada segelintir ulamak mengharuskannya. Perbahasan berlegar di sekitar; adakah pelaburan disebalik sijil tersebut berkonsepkan riba atau tidak? Bagi cabutan pula; adakah ia judi (maisir/qimar) atau tidak?

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam fatwanya tahun 1991 (kali ke 28) dan semakan semulanya tahun 2007 (kali ke 79) memutuskan bahawa Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional adalah harus menurut hukum Syarak. (Lihat laman fatwa JAKIM; (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/kajian-semula-fatwa-sijil-simpanan-premium-bank-simpanan-nasional-menurut-syariat-i)).

Insya Allah, saya akan kupas lebih terperinci perbahasan ulamak tentang sijil premium ini dalam jawapan yang lain.

Masalah fiqh yang rumit

3. Menurut mazhab Syafiie dan Hanbali; orang yang menghadapi masalah kencing tak lawas atau yang seumpamanya (iaitu wanita yang istihadhah, sering kentut dan sebagainya), mereka wajib mengambil wudhuk setiap kali hendak mengerjakan solat fardhu, setelah dipastikan waktu solat telah masuk dan setelah membasuh kemaluan mereka (dan membalutnya). Tidak sah wudhuk yang diambil sebelum masuk waktu kerana thoharah mereka adalah thoharah dharurat, maka tidak harus dilakukan sebelum tiba waktunya iaitu apabila masuk waktu solat.

Namun menurut ulamak; Bagi masalah fiqh yang rumit, jika seorang muslim yang dalam lingkungan awam (yakn bukan ulamak) tersalah melakukan sesuatu yang ditegah dalam ibadah dengan alasan jahil (tidak tahu), alasan itu adalah diterima darinya (yakni ibadahnya tidak batal) dengan syarat ia bukanlah hukum yang telah masyhur diketahui di kalangan kaum muslimin. Oleh demikian, solat yang saudara lakukan sebelum ini adalah sah dan tidak perlu diulangi kerana kesalahan yang saudara lakukan tergolong dalam masalah fiqh yang rumit bagi orang awam. Namun setelah saudara mengetahui hukumnya, jika sudara masih mengulangi kesalahan yang sama, batallah toharah saudara dan sekaligus tidak sahlah solat saudara. (Rujukan; al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 16/197-200).

Untuk mengetahui lebih lanjut cara bersuci orang yang menghadapi kencing tak lawas, sila baca dalam blog saya; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/kencing-tak-lawas.html).

Wallahu a'lam.

Thursday, January 27, 2011

MEMBINA PREMIS-PREMIS PERNIAGAAN DI KAWASAN MASJID

Soalan; Adakah harus apa yang dilakukan sekarang di sesetengah masjid iaitu dibuat lot-lot kedai di tanah masjid dan sewanya dipulangkan ke dalam tabung masjid?

Jawapan;

Soalan seumpamanya pernah ditanya kepada Syeikh Dr. Muhammad Bakr Ismail (salah seorang ulamak al-Azhar). Beliau menjawab dalam buku himpunan fatwanya "Baina as-Sail wa al-Faqih";

"Perkara tersebut diharuskan jika premis-premis perniagaan itu dibina untuk maslahat/kepentingan masjid dan dengan syarat ia tidak disewakan melainkan kepada orang yang menjalankan aktiviti/kegiatan yang tidak menyalahi Syariat dan tidak merosakkan kemuliaan masjid. Sebaiknya ia disewakan kepada orang-orang yang menjaga solat, takut kepada Allah dan tidak menyalahgunakan masjid untuk kepentingan duniawi mereka seperti menjadikan masjid sebagai stor simpanan barang, menghalang laluan orang ramai ke masjid, mengganggu para jamaah solat atau menyebabkan kesulitan-kesulitan lainnya. Sebagaimana diketahui bahawa memuliakan masjid, mengambil berat kebersihannya dan melapangkan laluan para jamaah ke masjid merupakan antara amalan-amalan terbesar untuk mendekatkan diri kepada Allah" (halaman 94).

Wallahu a'lam.

Tuesday, January 25, 2011

DARAH KELUAR MELEBIHI 15 HARI

Soalan; Salam, Saya ada kemusykilan tentang tempoh haid yang berlarutan. Untuk makluman ustaz, saya menghadapi masalah haid yang panjang tempohnya sehingga lebih dari 15 hari (tetapi dalam kadar yang sedikit). Minta pandangan Ustaz tentang solat yang wajib saya jalankan, apakah sah solat walaupun pendarahan masih berlaku? Bagaimana pula tentang kebersihan, adakah sah sekiranya solat dengan memakai tuala wanita? Sekiranya tanpa memakai tuala wanita, dikhuatiri akan meleleh dan terkena kain solat. Harap bantuan Ustaz,

Jawapan;

Tempoh paling lama haid ialah 15 hari. Oleh itu, jika seorang wanita darah haidnya datang hingga melepasi 15 hari, maka yang datang selepas hari ke 15 itu bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah. Darah haid ialah darah yang normal bagi seorang wanita, adapun darah istihadhah adalah darah penyakit. Apabila puan menyedari bahawa darah yang keluar bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah, hendaklah puan mandi wajib dan mengerjakan solat sebagaimana wanita yang suci. Namun, oleh kerana darah masih keluar, hendaklah puan mematuhi peraturan berikut setiap kali hendak mengerjakan solat;

1. Jika darah itu keluar tidak berterusan (yakni pada ketika-ketika tertentu sahaja), puan hendaklah menunggu ketika darah berhenti, kemudian bersuci dengan membersihkan faraj terlebih dahulu, kemudian mengambil wudhuk dan menunaikan solat.

2. Jika darah keluar berterusan, puan hendaklah melaksanakan kaedah bersuci sebagaimana berikut;
a) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu. Wanita istihadhah (dan begitu juga orang yang mengidap kencing tak lawas atau masalah seumpamanya) tidak harus ia mengambil wudhuk kecuali apabila waktu telah masuk kerana toharahnya adalah toharah darurat.
b) Mulai dengan membasuh faraj dengan sempurna
c) Setelah itu hendaklah puan membalut faraj dengan kain, tuala wanita atau sebagainya (untuk membendung darah dari mengalir keluar ketika solat).
d) Kemudian hendaklah puan segera mengambil wudhuk
e) Ketika mengambil wudhuk hendaklah puan berniat untuk membolehkan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang disyaratkan wudhuk. Contohnya; meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk puan berniat untuk mengangkat hadas kerana hadas puan tidak akan terangkat selama darah terus mengalir keluar dari faraj kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.
f) Setelah selesai wudhuk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.
g) Jika semasa solat itu darah masih keluar, tidak perlulah puan berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang puan alami.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail (1/66).
2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili (1/43)
3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 303, Ahkam at-Toharah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 64.
4. Fatawa Syeikh Abu Zahrah.
5. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi.

PENENTUAN WAKTU SOLAT DALAM KAPAL SELAM

Soalan; Bagaimana menentukan waktu solat pada situasi berikut:
1. ketika berada didalam kapal selam untuk tempoh melebihi 24 jam.
2. Berada di negara yang berada di altitud rendah (di bawah aras laut) cth. negara munich, Germany.

Jawapan;

Masalah di atas berkait dengan masalah seorang yang berada dalam situasi yang tidak memungkinkannya untuk mengukur waktu solat mengikut kaedah asal yang ditetapkan Syariat iaitu berdasarkan pergerakan matahari. Masalah ini bukanlah masalah baru yang mula timbul pada zaman ini. Ia sebenarnya telah tercetus pada zaman Nabi sendiri apabila Nabi menceritakan kepada para sahabatnya situasi yang akan berlaku pada zaman kemunculan Dajjal. Baginda menceritakan; "Dajjal itu akan tinggal di bumi selama 40 hari di mana hari pertama panjangnya seperti setahun, hari kedua seperti sebulan, hari ketiga seperti seminggu dan hari-hari lainnya sama seperti hari kamu". Para sahabat bertanya; "Ya Rasulullah, bagi hari yang panjangnya setahun itu, adakah mencukupi dengan solat untuk sehari sahaja (yakni 5 waktu sahaja)". Nabi menjawab; "Tidak. Akan tetapi kamu buatlah perkiraan untuknya". (Soheh al-Bukhari (Kitab al-Fitan, Bab La Yadkhul ad-Dajjal al-Madinah), Sunan at-Tirmizi (Kitab al-Fitan, Bab Ma Ja-a Fi Fitnah ad-Dajjal).

Dalam hadis di atas Nabi tidak membenarkan hari yang panjang seperti setahun itu diletakkan sama seperti satu hari biasa (24 jam) yang memadai dengan 5 waktu solat sahaja, akan tetapi baginda memberi panduan kepada mereka supaya membuat perkiraan, iaitu membahagikan hari yang panjang itu mengikut perhitungan panjang hari biasa (iaitu 24 jam demi 24 jam) di mana bagi setiap 24 jam hendaklah dilakukan 5 waktu solat mengikut andaian waktu di tempat mereka.

Berdasarkan panduan Nabi itu, orang-orang yang berhadapan situasi di mana ia tidak dapat mengukur waktu solat berdasarkan peredaran matahari (iaitu orang yang hidup di Kutub yang menghadapi siang 6 bulan dan malam 6 bulan, atau orang yang berada di angkasa (di bulan, di Stesyen Angkasa Lepas atau sebagainya) atau orang yang berada dalam kapal selam sebagaimana soalan di atas atau situasi-situasi lain seumpamanya), mereka tetap wajib menunaikan solat iaitu dengan membuat penentuan waktu berdasarkan perkiraan, iaitu dalam tempoh setiap 24 jam hendaklah dilakukan 5 solat waktu yang diwajibkan (Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak). Untuk menentukan masa solat bagi setiap waktu, ada dua kaedah yang telah difatwakan ulamak;

1. Dengan merujuk kepada penentuan waktu solat di negara yang berdekatan. Contohnya, jika kapal selam berada berhampiran Malaysia, penentuan waktu solat bagi staf yang berada dalam kapal selam itu ialah dengan mengikut penentuan waktu solat di Malaysia.

2. Dengan merujuk kepada penentuan waktu di tempat pelepasan. Kaedah ini lebih tepat bagi orang yang berada jauh dari bumi iaitu di angkasa. Contohnya, jika kapal angkasa berlepas dari Malaysia, maka penentuan waktu solat bagi angkawan yang berada di angkasa ialah dengan mengikut waktu Malaysia.

Kaedah pertama telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Arab Saudi, sementara kaedah kedua dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia.

Majlis Fatwa Arab Saudi menyebutkan; "Sesiapa yang tinggal di Negara yang matahari tidak terbenam langsung ketika musim panasnya dan matahari tidak muncul lansung ketika musim sejuknya, atau berada di Negara yang berterusan siangnya hingga 6 bulan dan malamnya 6 bulan, wajib ke atas mereka untuk mengerjakan solat pada setiap 24 jam dan hendaklah mereka membuat perkiraan dan penentuan bagi waktu-waktu solat mereka dengan bersandar kepada penentuan waktu solat di Negara yang paling hampir dengan mereka yang waktu-waktu solatnya dapat dibezakan antara satu sama lain" (Fatwa al-Lujnah ad-Daimah, no. Fatwa; 2769).

Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia dalam isu perlaksanaan ibadah di International Space Station (ISS), antara yang diputuskan;
- Solat ditunaikan sebanyak lima kali untuk tempoh 24 jam (hari di bumi) dan boleh ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu diqada.
- Waktu solat dan puasa di ISS adalah mengikut waktu tempat pelepasan.
- Penentuan arah qiblat hendaklah dengan cara menghadap kaabah dan sekiranya sukar, bolehlah menghadap ke mana-mana arah.
(Muzakarah kali Ke-76, pada 21 - 23 November 2006)

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Laman Fatwa Kerajaan Arab Saudi (http://www.alifta.com)
2. Laman Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia (http://www.e-fatwa.gov.my/).

Monday, January 24, 2011

ISTERI PERLU PATUH SUAMI ATAU IBU BAPA?

Soalan; Assalamualaikum..Saya ada satu kemusykilan. Jika seorang anak perempuan yang telah berkahwin dan suami anak perempuan tadi tidak mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga anak perempuan tadi ( mertuanya ), dan sekiranya keluarga si isteri ini tadi ingin mengadakan majlis untuk anak perempuannya tetapi suami bagi anak perempuan ini melarang isterinya dari menghadiri majlis tersebut dan kesannya sekiranya si isteri ini tidak menghadiri majlis tersebut maka akan mengaibkan ibubapanya dan sekiranya dia hadir ke majlis yang di adakan oleh ibubapanya maka adakah hukumnya nusyuz, kerana melanggar perintah suami? apa pula hukumnya ke atas anak perempuan tadi sekiranya tidak hadir dan melukakan hati ibu bapanya? harap dapat di perjelaskan. sekian terima kasih.

Jawapan;

Bagi seorang wanita yang telah berkahwin, suami dan ibu-bapa adalah dua insan paling utama dalam hidupnya. Kedua-dua mereka wajib ditaati, dihormati dan dijaga hubungan dan pertalian dengan mereka. Namun apabila berlaku pertembungan antara arahan suami dan arahan ibu-bapa (atau keluarga), ketaatan kepada suami adalah lebih utama dari ketaatan kepada dua ibu-bapa. Ini berdasarkan hadis dari Aisyah yang menceritakan; Aku bertanya Rasulullah; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang perempuan?". Jawab Nabi; "Suaminya". Aku bertanya lagi; "Siapakah yang paling besar haknya ke atas seorang lelaki?". Jawab Nabi; "Ibunya". (HR al-Hakim dan beliau mensahihkannya dan al-Bazzar dengan sanad yang baik).

Walau bagaimanapun, hendaklah arahan suami bukan dalam bentuk yang memudaratkan ibu-bapa si isteri seperti arahan supaya isteri tidak menziarahi ibu-bapanya secara sepenuhnya, arahan supaya isteri tidak memberi belanja kepada ibu-bapanya yang miskin (sedangkan dia mampu), arahan jangan menziarahi/menjaga ibu-bapa yang uzur/sakit (sedang tiada orang lain dapat menggantinya) dan yang seumpamanya. Arahan-arahan tersebut bertentangan dengan arahan Allah yang memerintahkan supaya anak (sama ada lelaki atau perempuan) berbakti/berterima kasih kepada ibu-bapanya dan melayani mereka dengan baik. Firman Allah (bermaksud);

"Berterima kasihlah kepadaKu dan kepada dua ibu-bapamu..." (Surah Luqman, ayat 14).

"Sembahlah Allah dan jangan mensyirikan sesuatu denganNya, dan berbuat baiklah kepada dua ibu-bapa" (an-Nisa', ayat 36).

"Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada dua ibu-bapa" (Surah al-Isra', ayat 23)

"Dan bergaullah dengan mereka berdua di dunia dengan cara yang baik" (Surah Luqman, ayat 15).

Arahan manusia -termasuk suami- hanya harus ditaati jika tidak melanggari perintah Allah. Arahan agar memutuskan silaturrahim dengan ibu-bapa dan mengabaikan mereka jelas bertentangan dengan perintah Allah, kerana itu tidak wajib dipatuhi. Arahan tersebut jika ditolak/diengkari oleh isteri tidaklah menyebabkan ia menjadi nusyuz.

Imam as-Shan'ani ketika mengulas hadis tadi (yakni hadis yang menegaskan ketaatan kepada suami lebih diutamakan dari ketaatan kepada ibu-bapa) beliau berkata; hadis tersebut adalah khusus jika tidak menimbulkan mudarat kepada dua ibu-bapa. Jika tidak, maka hak ibu-bapa adalah diutamakan ke atas hak suami bagi menselarikan antara hadis-hadis berkaitan" (Subulus-Salam, jilid 2, kitab al-Jami', bab al-Birr wa as-Silah).

Apa yang kita kemukakan di atas merupakan pandangan jumhur ulamak (yang terdiri dari mazhab Hanafi dan Maliki) iaitu; tidak harus suami menghalang isteri dari menziarahi ibu/bapanya terutamanya pada saat-saat mereka memerlukan bantuan dan perhatian anak mereka. Jika isteri membantah larangan suami seperti itu, tidaklah ia berdosa atau dan menjadi isteri yang nusyuz.

Tidak dinafikan di sana segolongan ulamak (antaranya mazhab Syafiie) yang berpandangan; suami mempunyai hak untuk menghalang isteri keluar dari rumah sekalipun untuk menziarahi dua ibu-bapanya, melawat mereka ketika sakit, malah untuk menziarahi jenazah mereka. Isteri wajib mentaati arahan tersebut walaupun dari sudut hukum arahan sebegitu adalah berdosa jika suami tidak mempunyai sebab yang munasabah untuk bertindak demikian. Mereka berdalilkan hadis dari Anas yang menceritakan; Seorang lelaki keluar bermusafir dan ia menegah isterinya keluar rumah. Ditakdirkan Allah bapa isterinya sakit, lalu ia mohon dari Rasulullah untuk keluar menziarahi bapanya. Baginda berkata; "Bertakwalah kamu kepada Allah dan janganlah menyanggahi perintah suami kamu". Lalu Allah memberi wahyu kepada Rasulullah bahawa bapa wanita itu telah diampunakan Allah dengan kerana ketaatannya kepada suaminya. (HR Imam at-Thabrani dalam al-Mu'jam al-Ausat). Namun menurut ulamak-ulamak hadis; sanad hadis ini adalah dhaif dan tidak harus dijadikan hujjah apatah lagi bagi perkara yang bersalahan dengan kehendak al-Quran tadi. Oleh itu, pandangan yang rajih ialah yang pertama tadi.

Merujuk kepada masalah yang dikemukakan dalam soalan di atas, keadaan tidaklah terlalu mendesak untuk si isteri pulang ke rumah ibu/bapanya. Ia sekadar kenduri sahaja. Oleh itu, bagi kes tersebut isteri tetap wajib menurut kehendak suami. Berusahalah memujuk suami supaya memberi keizinan. Jika ia tetap berdegil tidak mahu mengizinkan, tidak ada jalan lain melainkan taat dan patuh kepada arahan suami untuk mengelak dari menjadi isteri yang nusyuz. Mengenai hajat ibu-bapa, tidaklah berdosa menolaknya dalam kes ini kerana bagi wanita yang telah bersuami, menjaga hak suami lebih utama dari hak ibu-bapa sebagaimana ditegaskan oleh Nabi dalam hadis di awal tadi. Ia boleh menghubungi mereka -melalui telefon atau sebagainya- untuk memohon maaf dan menjelaskan situasi yang berlaku. Permohonan maaf itu juga termasuk dalam berbuat baik kepada ibu-bapa mengikut yang terdaya dilakukan.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, juz 23, hlm. 56.
2. az-Zawaaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 285-290.
3.Subulus-Salam, jilid 2, kitab al-Jami', bab al-Birr wa as-Silah).

MENYENTUH NAJIS KERING, SOLAT MUSAFIR & SUAMI MENGABAIKAN ISTERI

Soalan; Salam,
1. Jika tangan kita kering dan memegang kain kencing yang juga kering, adakah batal wuduk?
2. Jika kita musafir, bolehkah kita buat solat jamak dan qasar jika terlalu sibuk, dan memilih untuk solat biasa jika tidak sibuk?
3. Suami yang hanya mementingkan ibu dan mengabaikan isteri dan anak, katanya tidak mahu menjadi anak derhaka.
Terima kasih.

Jawapan;

1. Masalah pertama tiada kaitan dengan wudhuk. Ia berkait dengan akan menajisi tangan atau tidak? Jawapannya; jika anggota yang menyentuh dan najis yang disentuh, kedua-duanya kering, anggota yang menyentuh najis itu tidaklah dianggap terkena najis kecuali jika tidak nampak apa-apa kesan najis padanya. Jadi, tidak perlulah anggota itu dibasuh sebelum kita menunaikan solat atau melakukan sebarang ibadah yang lain yang mensyaratkan wajib bersuci. Adapun wudhuk, wudhuk tidak batal semata-mata badan bernajis. Bila badan terkena najis, cukup dengan kita mencucinya sahaja tanpa perlu mengulangi ambil wudhuk.

2. Selagi ada sebab yang mengharuskan untuk solat jamak dan qasar, haruslah untuk kita menjamak dan mengqasarkan solat. Menurut mazhab Syafiie, sebabnya ada dua;
A) Safar (perjalanan yang mencukupi 2 marhalah, iaitu kira-kira 90 KM)
B) Hujan (untuk jamak taqdim sahaja)
Adapun mengikut sebahagian ulamak; ada 3 sebab; dua di atas dan ditambah satu lagi;
(C) Kesibukan dan kesulitan (termasuk sakit).

Sama ada solat jamak dan qasar itu dilakukan berterusan atau pada waktu-waktu tertentu, itu tidak menjejaskan rukhsah (kelonggaran) yang diberikan Syariat itu selama sebab yang mengharuskannya masih ada iaitu safar, hujan atau kesibukan/kesulitan (mengikut sebahagian ulamak). Terdapat hadis dari Saidatina 'Aisyah yang menceritakan; "Aku keluar bersama Rasulullah semasa Umrah Ramadhan di mana ada hari aku berbuka (yakni tidak berpuasa) dan ada hari aku berpuasa. Ada ketika aku mengqasarkan solat dan ada ketika aku menyempurnakannya (yakni tidak mengqasarnya). Apabila aku menceritakan kepada Rasulullah apa yang aku lakukan itu, baginda berkata; "Apa yang kamu lakukan itu adakah baik, wahai Aisyah" (HR an-Nasai, ad-Daruqutni dan al-Baihaqi dengan sanad yang baik. Lihat hadis ini dalam; al-Majmu', Imam an-Nawawi, juzuk 4, kitab as-Solah, bab Solat as-Safar dan Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, juz 3, kitab as-Solah, Abwab Solat al-Musafir).

3. Ketaatan/kebaikan kepada ibu-bapa dan tanggungjawab sebagai ketua keluarga adalah dua kewajipan yang berbeza yang mesti dilaksanakan kedua-duanya sebagaimana kewajipan solat, puasa, zakat dan sebagainya. Tidak harus melakukan satu dan meninggalkan yang satu lagi. Suami yang berbuat baik kepada ibu bapa tetapi pada masa yang sama ia mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga (isteri dan anak-anak) ia berdosa kerana mengabaikan kewajipan Syarak walaupun pada masa yang sama ia mungkin mendapat pahala kerana kebaikan kepada ibu bapanya. Begitu juga jika ia melakukan sebaliknya (yakni menunaikan tanggungjaeab kepada keluarga, namun menderhaka kepada ibu-bapa). Oleh itu, suami mestilah berusaha melaksanakan dua kewajipan yang tertanggung atas bahunya itu dengan sebaik mungkin secara saksama.

Wallahu alam.

Sunday, January 23, 2011

KEADAAN SELEPAS MEMELUK ISLAM (hubungan dengan keluarga, harta yang diperolehi sebelum peluk Islam, prosedur masuk Islam?

Soalan; assalammualaikum ustaz. saya ade beberapa soalan yang ingin bertanya kepada ustaz. soalannya seperti berikut:

1. bagi seseorg yang bru memeluk agama islam, kehidupan seseorg itu pasti akan berubah terutama sekali bile bersama dengan keluarga. jika keluarga bkn beragama islam, dan bagaimana seseorg suadara baru itu hendak menghadapi situasi demikian, lebih2 lagi bagi soal makan, adakah masih lagi boleh makan bersama ataupun sebaliknya. andai kata keluarga tersebut tidak memakan makanan haram seperti arak @ daging khinzir, adakah saudara baru itu boleh makan bersama2 dengan keluarganya lagi? minta pandangan ustaz utk ulas perkara ini.

2. sebelum memeluk agama islam, simpanan duit dtgnya dr berbagai2 sumber, ada y dtgnye dr sumber yang haram...tetapi selepas memeluk agama islam, apakah duit simpanan tersebut masih bole digunakan? walaupun sudah beragama islam tetapi duit simpanan tersebut adalah haram...jadi mcm mane ustaz?

3. berapakah tempoh seseorg itu utk memeluk agama islam bagi membolehkan dia melangsungkan perkahwinannya dengan org islam. apakah prosedur2nya utk memerluk agama islam serta selepas memeluk agama islam, adakah perlu utk menghadiri / menyertai sebarang kelas yang telah ditetapkan oleh pihak jabatan agama islam.

buat masa sekarang ini sahaja soalan yang saya hendak tanya, jika terdapat lagi persoalan2 yang saya tidak tahu, saya akan tujukan soalan lagi kepada ustaz..
sekian, terima kasih.

Jawapan;

Pergaulan dengan keluarga yang tidak Islam

1. Islam tidak menghalang orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk terus berhubungan dan bersilaturrahim dengan keluarganya yang bukan Islam. Malah di dalam al-Quran, Allah memerintahkan seorang muslim untuk tetap melayani dengan baik ibu-bapanya yang bukan Islam walaupun mereka pernah mengajaknya untuk mensyirikkan Allah (yakni kembali kepada agama asal). Firman Allah (yang bermaksud);

“Dan jika mereka berdua (yakni ibu dan bapa) mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik…” (Surah Luqman, ayat 15)

Dalam ayat di atas, Allah melarang seorang yang telah Islam untuk memenuhi desakan ibu-bapanya yang masih kafir untuk mensyirikkan Allah (kembali kepada kekufuran), namun dalam pada itu Allah tetap memerintahkan agar ia bergaul dengan mereka di dunia secara baik. Berkata Imam al-Qurthubi –mengulas ayat di atas-; “Ayat ini menjadi dalil kepada tuntutan supaya mengikat hubungan dengan dua ibu-bapa yang kafir termasuk menafkahi mereka –mengikut yang terdaya- jika mereka miskin, bercakap lembut dengan mereka dan mengajak mereka kepada Islam dengan bahasa yang manis” (Tafsir al-Qurthubi, surah Luqman, ayat 15).

Diceritakan dalam hadis bahawa Asma’ binti Abu Bakar, tatkala datang kepadanya ibunya yang masih kafir (musyrik) untuk mengikat hubungan, ia (yakni Asma’) bertanya Nabi; “Ya Rasulullah, perlukah aku mengikat hubungan dengan ibuku itu?”. Nabi menjawab; “Ikatlah hubungan dengannya”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

Nabi sendiri tetap mengikat hubungan dengan bapa saudaranya (Abu Talib) walaupun beliau (Abu Talib) tidak memeluk Islam.

Makan bersama keluarga yang tidak Islam

2. Mengenai makan; harus makan bersama keluarga yang tidak Islam, malah harus makan makanan yang dimasak/dihidangkan oleh orang bukan Islam, namun hendaklah dipastikan makanan itu adalah halal dan tidak bercampur dengan sebarang bahan yang haram. Terdapat hadis menceritakan; Nabi menerima makanan yang dihadiahkan oleh orang bukan Islam (Yahudi) dan baginda serta sahabatnya makan daging kambing yang dihadiahkan oleh seorang perempuan Yahudi.

Interaksi yang baik oleh seorang muslim baru dengan keluarganya yang bukan Islam boleh menjadi contoh bagi mereka untuk menilai kebaikan ajaran Islam dan mendorong mereka untuk turut sama memeluk Islam.

Harta yang diperolehi sebelum memeluk Islam

3. Wang/harta yang diperolehi seseorang semasa ia masih kafir, kemudian ia memeluk Islam, wang/harta itu adalah halal baginya selepas ia memeluk Islam –walaupun diperolehi dari sumber yang tidak halal- kerana ketika ia mengumpul harta itu ia bukan seorang muslim dan hukum-hakam Islam (termasuk yang berkait dengan harta) belum mengikatnya.

Di dalam al-Quran, apabila Allah menurunkan ayat mengharamkan riba, harta yang lalu yang diperolehi sebelum pengharaman riba tidak diperintah Allah supaya dipulangkan atau dirampas, akan tetapi Allah berkata (yang bermaksud); “…sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (tentang pengharaman riba) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman riba) adalah menjadi haknya” (Surah al-Baqarah, ayat 275).

Imam ar-Razi menegaskan dalam tafsirnya (at-Tafsir al-Kabir); “Ayat ini menjadi asas yang besar bagi hukum-hakam tentang orang-orang kafir yang memeluk Islam, iaitu; apa yang telah berlalu semasa mereka kafir, maka ia adalah kekal, tidak terbatal dan tidak dirongkaikan (apabila mereka memeluk Islam)” (Surah al-Baqarah, ayat 275-279).

Ketika zaman Nabi, orang-orang musyrikin yang memeluk Islam tidak ada seorang pun dari mereka yang diselidiki hartanya oleh Nabi; dari sumber mana datangnya harta mereka? Dari sumber halal atau sumber haram?, sebaliknya baginda membiarkan harta yang mereka himpun semasa mereka kafir untuk terus mereka miliki sebagaimana baginda mengiktiraf perkahwinan mereka sebelum memeluk Islam.[1](Rujukan; Ahkam al-Mal al-Haram, Dr. Abbas Ahmad Muhammad al-Baz, hlm. 122-123).

Berkahwin dengan orang Islam

3. Sebaik sahaja seorang itu sah menjadi muslim (penganut Islam) dengan mengucap dua kalimah Syahadah, berjalanlah atas dirinya hukum-hakam Syariat Islam termasuk yang berkaitan nikah-kahwin.[2] Maka sebaik sahaja ia telah mengucap dua kalimah Syahadah, haruslah ia berkahwin dengan orang Islam. Namun ada baiknya sebelum berkahwin ia mempelajari terlebih dahulu selok-belok Islam termasuk hukum-hakam yang berkait dengan nikah-kahwin dan peraturan kekeluargaan dalam Islam.

Prosedur untuk memeluk Islam

4. Untuk memeluk Islam tidak ada prosedur yang sukar dan sulit. Memadai dengan menzahirkan keyakinan kepada agama Islam dengan mengucap dua kalimah Syahadah (Lailaha Illallah, Muhammadur Rasulullah) di hadapan orang Islam yang dapat menjadi saksi atas keislamannya. Setelah mengucap kalimah Syahadah, barulah disusuli dengan mendaftar keislaman di mana-mana Jabatan berkaitan (Jabatan Agama Islam Negeri, PERKIM dan sebagainya) termasuk mengubah nama (jika perlu) dan status agama di Jabatan Pendaftaran. Perkara pertama (yakni mengucap syahadah) tidak boleh ditangguh. Ia mesti segera dilakukan sebaik sahaja seorang itu diberi kesedaran oleh Allah untuk memeluk Islam. Adapun perkara-perkara berikutnya (yakni mendaftar keislaman, menukar nama dan sebagainya), ia boleh dilakukan dari masa ke semasa. Namun jika disegerakan itulah yang paling baik.

Belajar agama

5. Mengenai belajar agama; setiap orang Islam -sama ada yang baru memeluk Islam atau telah lama memeluk Islam- wajib mempelajari ajaran Islam merangkumi ilmu Aqidah dan ilmu Syariat. Ilmu Aqidah ialah ilmu tentang perkara-perkara yang wajib diyakini dan dipercayai sebagai seorang muslim. Ilmu Syariat ialah ilmu tentang peraturan dan hukum hakam yang ditetapkan oleh Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap orang Islam di sepanjang hidup mereka. Cuma bagi orang yang baru memeluk Islam, ia hendaklah bermula dengan ilmu yang paling asas iaitu ilmu tentang kalimah Syahadah, ilmu tentang rukun Iman dan rukun Islam. Untuk mempelajari tentang Islam tidaklah dimestikan mempelajarinya dari institusi agama yang rasmi (Jabatan Agama, PERKIM atau sebagainya). Saudara boleh mempelajarinya dari mana-mana ustaz yang saudara kenali atau dengan menghadiri mana-mana majlis ilmu yang diadakan di Surau atau di Masjid. Namun buat permulaan, yang terbaik ialah saudara mengikuti majlis ilmu yang diadakan khusus untuk saudara-saudara baru kerana lebih mudah untuk saudara memahami ilmu yang diajar. Walau bagaimana pun, jika ada kesempatan ada baiknya saudara juga turut menghadiri majlis-majlis ilmu di Surau atau Masjid supaya dapat bergaul dengan saudara-saudara Islam yang lain.

Wallahu a’lam.

Nota hujung;

[1] Dikecualikan jenis perkahwinan yang diharamkan di dalam Islam seperti berkahwin lebih dari empat isteri dan mengahwini dua bersaudara sekaligus. Orang kafir yang memeluk Islam dengan memiliki lebih empat isteri, Nabi memerintahkannya agar memilih empat sahaja dari isteri-isterinya dan menceraikan yang selebihnya. Orang yang beristerikan dua wanita bersaudara, Nabi memerintahkannya supaya menceraikan salah seorang dari mereka. Begitu juga, orang yang mengahwini wanita yang menjadi mahramnya seperti mengahwini isteri bapanya, Nabi memerintahkannya agar diceraikan. (Ahkam Ahl az-Zimmah, Ibnul-Qayyim, 1/345).

[2] Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Aku diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan Lailaha Illallah. Apabila mereka mengucapkannya, terpeliharalah dariku nyawa dan harta-benda mereka kecuali dengan hak yang dituntut oleh kalimah tersebut. Adapun perkiraan (apa yang menjadi rahsia dalam hati mereka) adalah terserah kepada Allah” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim. Menurut Imam Ibnu Kathir; hadis ini mutawatir). Berkata Imam Ibnu Kathir; makna hadis ini ialah; seorang yang mengucap kalimah Syahadah tersebut akan berjalanlah atas dirinya hukum-hakam Islam secara zahirnya. Jika ia meyakini kalimah itu dengan hatinya, ia akan mendapat ganjaran di akhirat dari terlaksananya hukum-hakam Islam ke atas mereka di dunia. Jika mereka tidak meyakini dengan hati, berjalannya hukum hakam Islam ke atas mereka di dunia tidak akan memberi manfaat untuk mereka di akhirat. (Tafsir al-Quran al-Adziem, surah al-Baqarah, ayat 10). Menurut Imam an-Nawawi; hendaklah bersama mengucap dua kalimah syahadah itu diiringi dengan keimanan (keyakinan) terhadap semua ajaran yang datang dari Nabi Muhammad sebagaimana yang terdapat dalam riwayat yang lain dari Abu Hurairah; “…sehingga mereka bersaksi Tiada Tuhan melainkan Allah, beriman denganku dan dengan apa yang aku bawa” (Lihat; Syarah Soheh Muslim, Kitab al-Iman, bab al-Amr Bi Qital an-Naas…).

Saturday, January 22, 2011

IBADAH WANITA KETIKA HAID

Soalan; Ustaz, Saya ada kemusykilan tentang haid wanita. Apa yang saya tahu perempuan dalam haid dilarang melakukan puasa dan sembahyang, mengaji Alquran. tetapi tiada larangan untuk berzikir dan berdoa. Soalan saya, boleh tak ustaz tolong berikan hujah iaitu dalil al-Quran/Hadis tentang haid yang menjelaskan perkara diatas. Sekian terima kasih.

Jawapan;

1. Telah ijmak (sepakat) para ulamak bahawa wanita yang dalam haid dan nifas diharamkan mengerjakan solat dan juga puasa (termasuk puasa Ramadhan). Puasa Ramadhan wajib diqadha, adapun solat tidak perlu diqadha. Dalil larangan solat dan puasa tersebut ialah hadis Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. telah bertanya kaum wanita; “Bukankah kesaksian seorang wanita sama seperti separuh kesaksian seorang lelaki?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lalu berkata; “Itu tanda kurangnya akal wanita”. Baginda bertanya lagi; “Bukankah jika kamu kedatangan haid, kamu tidak boleh mengerjakan solat dan berpuasa?”. Mereka menjawab; “Ya”. Baginda lantas berkata; “Itu tanda kurangnya agama wanita” (HR Imam al-Bukhari dari Abu Sa’id al-Khudri r.a.).

2. Adapun hukum membaca al-Quran, terdapat khilaf di kalangan ulamak seperti berikut;

A) Menurut Jumhur ulamak (yakni pandangan teramai ulamak termasuk Imam-Imam mazhab empat); Diharamkan ke atas orang yang berhadas besar membaca al-Quran dengan lidahnya sekalipun satu ayat. Mereka berdalilkan hadis dari Ibnu Umar yang menceritakan Rasulullah bersabda;"Janganlah wanita dalam haid dan orang yang berjunub membaca sesuatupun dari al-Quran" (HR Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah). Berdalilkan hadis ini, jumhur ulamak memutuskan; orang-orang yang berada dalam haid dan junub dilarang membaca al-Quran dengan lidah. Adapun membaca dengan hati (tanpa menggerakkan lidah), diharuskan.

B) Imam Malik berpandangan; Diharuskan wanita dalam haid dan nifas membaca al-Quran dari ayat-ayat yang dihafalnya jika dibimbangi takut hilang dari ingatannya jika tidak dibaca sepanjang tempoh haid atau nifasnya. Namun, orang berjunub dilarang sama sekali membaca al-Quran.

C) Terdapat ulamak-ulamak yang menganggahi pandangan jumhur ulamak di atas iaitulah Imam Daud az-Dzahiri, Imam Ibnu Hazm, Imam Ibnu Taimiyyah dan beberapa lagi. Menurut mereka; harus bagi orang berjunub dan begitu juga wanita yang kedatangan haid membaca al-Quran keseluruhannya. Di kalangan Salaf, pendapat ini ada diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas dan juga Ibnu al-Musayyab. Dalil mereka ialah hadis dari Saidatina ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. sentiasa berzikir kepada Allah pada setiap ketika/masanya” (HR Imam Muslim) dan membaca al-Quran termasuk di dalam pengertian zikir. Adapun hadis yang dijadikan dalil oleh jumhur tadi, hadis tersebut adalah dhaif mengikut penilaian ulamak-ulamak hadis.

3. Mengenai zikir dan doa, tidak ada nas (dalil dari al-Quran atau as-Sunah) yang melarang wanita yang kedatangan haid dan nifas dari melakukannya. Oleh itu, ia kekal sebagai harus (tidak dilarang). Dalam kaedah Fiqh ada dinyatakan "Sesuatu itu kekal dalam hukum asalnya selagi tidak ada dalil yang mengubahnya atau mengecualikannya dari hukum asal".

Dari keterangan di atas, kita dapat melihat bahawa ruang untuk wanita dalam haid dan nifas beribadah adalah luas seluas ruang doa dan zikir itu sendiri walaupun mereka tidak dibolehkan solat, puasa dan membaca al-Quran (mengikut pandangan jumhur tadi). Berikut kita senaraikan dengan terperinci ibadah-ibadah yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang berada dalam haid dan nifas;

1. Berdoa dengan apa sahaja doa termasuk dari al-Quran

2. Beristighfar; termasuk istighfar dari al-Quran

3. Berzikir; sama ada bertahlil, bertahmid, bertasbih dan sebagainya.

4. Berselawat kepada Nabi

5. Mendengar bacaan al-Quran

6. Menghadiri/mendengar majlis ilmu (yang diadakan di tempat lain selain masjid)

7. Mengulang hafalan al-Quran (mengikut pandangan Imam Malik tadi)

8. Membaca buku-buku agama termasuk kitab-kitab hadis

9. Bersedekah

10. Membuat kebajikan kepada orang lain

Bagi doa, istighfar dan zikir yang diambil dari al-Quran hendaklah dibaca dengan niat untuk berdoa, berzikir dan beristighfar, bukan dengan niat membaca al-Quran.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Tamam al-Minnah, Syeikh Adil bin Yusuf al-Azzazi, jil. 1. Hlm. 144-145.
2. Laman Fiqh Anda (http://fiqh-am.blogspot.com/).
3. Haid Membawa Berkah, Lissa Malike dan Asmawati, hlm. 74.

Friday, January 21, 2011

MENINGGALKAN JUMAAT KERANA KERJA

Soalan; Adakah wajib bagi seseorang pengawal keselamatan yang menjaga sesuatu premis menunaikan sembahyang jumaat? Ini kerana jika premis tersebut ditinggalkan tidak berjaga, terdapat kemungkinan ianya diceroboh dan berlakunya kecurian harta benda.

Jawapan;

Solat jumaat adalah wajib dengan nas al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah (bermaksud); "Wahai orang-orang beriman! Apabila diseru azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, maka segeralah (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah urusan jual-beli (pada saat itu). Yang demikian itu adalah baik bagi kamu jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)" (Surah al-Jumuah, ayat 9). Sabda Nabi; "Hendaklah orang-orang yang meninggalkan solat jumaat berhenti dari perbuatan mereka itu atau jika tidak, Allah akan menutup hati-hati mereka hingga akhirnya mereka akan tergolong dari kalangan orang-orang yang lalai" (HR Imam Muslim dari Ibnu 'Abbas).

Oleh itu tidak harus orang-orang yang diwajibkan ke atas mereka solat jumaat meninggalkannya dengan sengaja, iaitulah orang-orang yang ada padanya syarat-syarat berikut;
1. Lelaki; solat jumaat tidak wajib ke atas wanita
2. Telah baligh
3. Tidak sakit atau menghadapi halangan lain untuk menghadiri solat berjamaah di masjid.
4. Mukim (tinggal menetap); yakni bukan dalam musafir.
(Mughni Muhtaj, Syeikh al-Khatib as-Syirbini, bab Solat al-Jum'at)

Kesibukan kerja tidak boleh menjadi alasan untuk meninggalkan solat jumaat. Di dalam ayat di atas Allah menyebut "....dan tinggalkanlah urusan jual-beli" menunjukkan bahawa aktiviti mencari rezki dan keuntungan tidak harus menjadi alasan untuk tidak hadir solat jumaat. Majikan yang mengarahkan pekerjanya untuk tetap berkerja ketika solat jumaat semata-mata untuk mengekalkan produktiviti atau keuntungan, ia berdosa kepada Allah kerana menghalang hamba Allah menunaikan kewajipan ibadahnya dan para pekerja pula tidak harus mentaati arahan majikan sebegitu kerana Nabi bersabda "Tidak harus taat kepada makhluk dalam perkara yang maksiat kepada khalik (Tuhan pencipta)" (HR Imam Ahmad dan al-Hakim dari 'Imran dan al-Hakam bin Amru al-Ghifari).

Dikecualikan jika suatu kerja atau tugas itu membabitkan kepentingan awam atau menjaga kemaslahatan/kepentingan yang tidak dapat dielakkan (dari menjaga dan memerhatikannya sepanjang masa termasuk ketika waktu jumaat), haruslah orang terbabit meninggalkan jumaat kerana berlaku keuzuran yang tidak dapat dielakkan. Firman Allah; "Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan melaksanakan perintahNya) dengan apa yang terdaya kamu lakukan" (Surah at-Taghabun, ayat 16). Mereka seperti;
1. Anggota polis, bomba atau pasukan keselamatan yang terpaksa bertugas untuk menjaga kepentingan awam atau terdapat kes-kes tertentu yang perlu ditangani yang berbetulan dengan waktu jumaat.
2. Doktor di bahagian kecemasan atau di bilik pembedahan
3. Jurutera yang menyelia mesin yang terpaksa beroperasi 24 jam dan tiba gilirannya bertugas berbetulan waktu jumaat.
4. Pengawal keselamatan yang bertugas mengawal premis yang terpaksa dijaga 24 jam untuk mengelak dari diceroboh, kecurian atau sebagainya.

Mereka hendaklah menggantikan jumaat mereka dengan solat zohor dan seboleh-bolehnya solat zohor itu dilakukan secara berjamaah.

Majlis Fatwa Arab Saudi, apabila ditanya berkenaan doktor-doktor yang bertugas di hospital/klinik yang beroperasi 24 jam secara bergantian, haruskah doktor yang bertugas berbetulan dengan waktu jumaat meninggalkan solat jumaat? Jawapan yang diberikan;

"Doktor tersebut melaksanakan satu urusan yang besar untuk manfaat orang-orang Islam dan jika ia keluar untuk solat Jumaat akan menimbulkan bahaya yang besar, maka tidak berdosa untuk ia meninggalkan solat Jumaat. Ia hendaklah menggantikan solat Jumaat itu dengan mengerjakan solat Zohor pada waktunya dan jika boleh menunaikannya berjamaah, wajiblah ditunaikan secara berjamaah (*Ulamak-ulamak Arab Saudi berpandangan; solat berjamaah bagi solat fardhu adalah wajib). Keharusan meninggalkan jumaat tersebut berdalilkan firman Allah (bermaksud); "Bertakwalah kamu kepada Allah (dengan melaksanakan perintahNya) dengan apa yang terdaya kamu lakukan" (Surah at-Taghabun, ayat 16). (Fatwa al-Lujnah ad-Daimah, al- Majmu'ah 1; 8/191).

Begitu juga, apabila ditanya berkenaan; Seorang pemilik stesyen minyak yang berada agak jauh dari bandar, adakah harus ia mengambil seorang pengawal keselamatan untuk mengawasi stesyen minyaknya ketika solat jumaat memandangkan stesyen tersebut pernah berlaku kebakaran dan kecurian sebelum ini? Jawapan yang diberikan;

"Jika benar wujud kebimbangan sebagaimana yang disebutkan, haruslah bagi pengawal tersebut untuk meninggalkan solat Jumaat dan menggantinya dengan solat zohor untuk membolehkannya mengawasi apa yang disebutkan. Keharusan ini berdalilkan dalil-dalil Syariat yang memberi keharusan untuk meninggalkan solat Jumaat jika wujud keuzuran seumpama itu" (Fatwa al-Lujnah ad-Daimah, al- Majmu'ah 1; 8/193).

Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid dalam fatwanya memberi garis panduan yang lebih jelas bentuk kerja atau tugas yang boleh menjadi keuzuran untuk meninggalkan jumaat dan yang tidak boleh menjadi keuzuran. Beliau menjelaskan;
1. Jika akan menyebabkan kemusnahan kepada kepentingan awam atau kepentingan khusus seperti akan berlaku kecurian harta, kebakaran, kerosakan atau timbulnya suatu mudarat dengan hadirnya orang yang ditugaskan menjaga atau mengendali kepentingan tersebut ke solat jumaat, haruslah ia meninggalkan solat Jumaat dan ia hendaklah menggantinya dengan solat zohor.
2. Adapun jika sebab ia ingin meninggalkan solat Jumaat adalah kerana ingin mengejar tambahan untung, meningkatkan produktiviti, untuk mengekalkan jawatan, kenaikan pangkat, takut kehilangan kerja atau sebagainya dari manfaat-manfaat duniawi, sebab tersebut tidaklah mengharuskannya untuk meninggalkan solat jumaat.
(Laman as-Sual wa al-Jawab (islamqa.com), fatwa no. 36530).

Wallahu a'lam.

Thursday, January 20, 2011

MEMOHON MAAF KERANA MELAKUKAN ZINA

Soalan; Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Ustaz, Soalan saya adalah berikut: Sekiranya seorang lelaki yang sudah berkahwin berzina dengan isteri orang, dan sekarang beliau telah insaf dan melakukan taubat nasuha, adakah lelaki itu wajib meminta maaf kepada suami wanita tersebut? Terima kasih.

Jawapan;

Zina adalah dosa yang amat besar di dalam Islam apatahlagi jika dilakukan dengan wanita yang telah bersuami. Perbuatan tersebut menganiayai si suami terbabit, menjatuhkan air mukanya dan menghancur-luluhkan hatinya jika ia mengetahuinya. Berkata Imam Ibnu Hajar; "Zina ada beberapa martabat. Berzina dengan wanita ajnabi yang tak bersuami sudah dikira dosa besar. Lebih besar lagi dosa jika dilakukan dengan wanita ajnabi yang besuami. Lebih besar dari itu apabila seorang berzina dengan mahramnya sendiri. Perbuatan zina seorang yang pernah berkahwin lebih keji dari orang belum pernah berkahwin berdalilkan hukuman had yang berbeza antara keduanya (yakni hukuman had yang dikenakan ke atas penzina yang pernah berkahwin lebih berat iaitu direjam sampai mati, berbanding yang belum berkahwin hukumannya disebat 100 rotan). Zina oleh orang tua lebih keji dari zina oleh orang muda kerana akalnya lebih sempurna. Zina oleh orang merdeka dan orang alim lebih keji dari zina yang dilakukan oleh hamba dan orang jahil" (az-Zawajir 'An Iqtiraf al-Kabair).

Orang yang terlanjur melakukan zina hendaklah segera bertaubat kepada Allah dengan taubat nasuha iaitu dengan memenuhi semua syarat-syarat taubat iaitu;
1. Meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat yang dilakukan sepenuhnya
2. Menyesal sesungguh hati atas ketelanjuran melakukannya
3. Berazam dengan keazaman yang bulat/penuh tidak akan mengulagi lagi dosa dan maksiat tersebut.
Di samping ia hendaklah memperbanyakkan amal-amal soleh dan kebajikan kerana amal-amal yang baik akan menutup kejahatan-kejahatan yang lalu. Firman Allah (bermaksud); "Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat" (Surah al-Furqan, ayat 71).

Perlukah ia memberitahu perbuatan zinanya kepada orang lain (termasuk suami wanita yang dizinainya) sebagai tanda taubat dan penyesalan? Jawapannya; memadai dengan kita melakukan apa yang disuruh oleh Syariat sebagai tanda taubat kita iaitu dengan melaksanakan rukun-rukun taubat nasuha tadi. Syariat tidaklah mensyaratkan orang berzina mesti mengisytiharkan perbuatan zinanya sebagai syarat sah taubatnya. Malah terdapat hadis dari Nabi memerintahkan supaya kita tidak menghebahkan dosa yang kita lakukan, sebaliknya kita mengekalkannya menjadi rahsia antara kita dan Allah setelah kita memohon ampun dariNya. Sabda Nabi (bermaksud); "Setiap umatku akan diampunkan Allah dosanya kecuali orang-orang yang menzahirkan (dosa/maksiatnya). Di antara penzahiran ialah; seorang lelaki melakukan satu perbuatan dosa di malam hari dan Allah telah menutupnya dari diketahui orang lain. Namun apabila ia bangun pagi, ia menceritakan kepada orang lain; 'Wahai fulan, aku telah melakukan perbuatan sekian sekian semalam'. Allah menutupinya di malam hari, namun di pagi hari dia sendiri yang mendedahkan tutupan Allah ke atasnya" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah). Baginda juga bersabda; "Allah tidak menutupi seseorang hamba di dunia melainkan Ia akan menutupinya di akhirat" (HR Imam al-Bukhari dan Muslim).

Mengulas hadis tersebut, Imam an-Nawawi menegaskan; Adalah makruh orang yang terlanjur melakukan maksiat memberitahu perbuatan maksiatnya kepada orang lain, akan tetapi hendaklah ia meninggalkan maksiat, menyesalinya dan berazam tidak akan kembali melakukannya. Melainkan jika ada suatu maslahah untuk ia memberitahunya seperti memberitahu guru atau syeikhnya untuk mencari jalan keluar dari maksiatnya, atau untuk selamat dari terjebak dalam maksiat yang sepertinya, atau untuk mengetahui punca ia terjebak dalam maksiat tersebut atau supaya gurunya mendoakan untuknya, maka tidaklah makruh ia memberitahunya. Berkata Imam al-Ghazali; pendedahan yang dicela ialah jika dilakukan dengan tujuan sengaja ingin menzahir atau menceritakan dosa atau maksiat yang dilakukan atau untuk mempermain-mainkan. Adapun dengan tujuan bertanya soalan atau meminta fatwa tidaklah dicela berdalilkan hadis yang menceritakan; seorang lelaki yang terlanjur bersetubuh dengan isterinya pada siang hari di bulan Ramadhan, lalu ia datang kepada Nabi dan menceritakan apa yang berlaku dan Nabi tidak menegah perbuatannya. (Faidhul-Qadier, hadis no. 6279)

Merujuk kepada soalan saudara, tidak perlulah orang terlibat mendedahkan perbuatan zinanya kepada si suami semata-mata untuk memohon maaf darinya. Hendaklah ia menyesali perbuatannya, memohon ampun kepada Allah dengan sesungguh hati, membanyakkan amal-amal soleh dan mendoakan kesejahteraan orang yang teraniayai dengan kerana perbuatan maksiatnya itu.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Laman Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (Islamqa.com), fatwa no. 95024, 47924.
2. Faidhul-Qadier Syarh al-Jami as-Saghier, Imam an-Munawi, hadis no. 6279.

TEMPOH MINIMA HAID

Soalan; Assalamualaikum wbt, Saya ingin bertanya berkenaan masalah haid. Jika darah keluar pada waktu zohor (hanya beberapa titik) tetapi pada waktu asar tidak ada hingga lah ke subuh esoknya. Apakah yang perlu dilakukan? Perlukah mandi hadas pada subuh itu? Perlukah qadak solat? Bagaimanakah cara untuk mengira kiraan hari yang sebenarnya. Terima kasih.

Jawapan;

Menurut mazhab Syafiie, sekurang-kurang tempoh haid ialah sehari semalam (24 jam) dengan wujudnya darah secara berterusan. Maksud wujud darah secara berterusan tidak semestinya dengan ia mengalir keluar. Memadai dengan diketahui bahawa darah itu ada iaitu sekira-kira jika diletakkan kapas atau kain, akan terlihatlah kesan darah padanya.

Oleh kerana ditetapkan tempoh sekurang-kurang haid ialah sehari semalam, maka darah yang datang kurang dari tempoh itu, ia bukanlah darah haid, tetapi darah istihadhah atau darah penyakit. Wanita terbabit hendaklah mengerjakan solat seperti biasa (setelah membersihkan farajnya dan mengambil wudhuk) dan solat yang ditinggalkan kerana menyangka kedatangan haid hendaklah diqadha. Tidak perlulah ia mandi kerana darah tersebut bukanlah darah haid.

Untuk membaca lebih lanjut tentang permasalahan haid dan darah wanita, sila ke blog (http://fiqh-am.blogspot.com/), di situ ada dihuraikan dengan terperinci.

Wallahu a'lam.

Wednesday, January 19, 2011

ENGGAN BERKAHWIN SEMULA SELEPAS KEMATIAN SUAMI

Soalan; ASSALAMUALAIKUM W.B.T. Ustaz, saya telah kematian suami beberapa bulan yang lalu. Waktu itu saya mengandungkan anak sulung kami.  Mula-mula mendapat ujian ini, saya sangat bersedih kerana hilang tempat bergantung. Tetapi Alhamdulillah saya kini lebih tabah membesarkan anak perempuan. Saya tidak lupa untuk menyedekahkan surah yasin tiap-tiap malam kepada arwah suami sejak dia meninggal sampai hari ini. Semoga Allah merahmati rohnya. Saya ingin bertanya pandangan ustaz, bolehkah saya berniat untuk terus menjadi ibu tunggal kerana saya begitu menghormati suami. Saya selalu berdoa semoga jodoh kami bukan hanya di dunia, tetapi sampai ke akhirat. Saya redha dengan apa yang Allah tentukan untuk saya esok hari, tetapi saya takut adakah niat saya ini bererti saya menolak apa yang ditentukan oleh-Nya. Terima kasih ustaz.

Jawapan;

Syariat tidaklah menghalang seorang wanita yang kematian suami sama ada hendak berkahwin semula atau terus membujang. Ia terserah kepada wanita/isteri untuk memutuskan apa yang terbaik untuk dirinya dan anak-anaknya (jika ia mempunyai anak). Sebaik-baiknya ialah ia melakukan istikharah dan apa yang ditunjuki Allah untuknya itulah keputusan yang terbaik. 

Ada beberapa faktor seorang wanita enggan berkahwin semula selepas kematian suaminya;

1. Kerana ingin menjaga masa depan anak-anaknya, yakni ia bimbang anak-anaknya akan terabai jika ia berkahwin semula di mana ia sibuk dengan suami baru dan tidak dapat memberi perhatian yang cukup kepada anak-anaknya. Atau mungkin juga sebaliknya iaitu ia bimbang kesibukan menjaga anak-anak akan menyebabkannya mengabaikan kewajipannya kepada suami barunya. Ummu Hani binti Abi Thalib setelah kematian suaminya, ia dilamar oleh Rasulullah -sallalahu alaihi wasallam-, namun ia menolak dengan memberi alasan; "Aku telah tua dan pada masa yang sama aku mempunyai anak-anak" (Soheh Muslim, juz 16, kitab Fadhail as-Sahabah, Bab Min Fadhail Nisa' Quraiysh). Jadi ia khuatir jika berkahwin dengan Rasulullah, ia tidak dapat memberi perhatian kepada Rasulullah atau ia akan mengabaikan anak-anaknya, di tambah pula dengan keadaannya yang telah tua.   

2. Kerana perasaan kasih yang mendalam terhadap suami yang meninggal dan merasakan suami yang pergi itu tiada galang gantinya. Apatahlagi terdapat hadis di mana Rasulullah bersabda; "Mana-mana wanita yang kematian suaminya, lalu ia berkahwin semula, maka ia (di akhirat) adalah milik suaminya yang terakhir". (HR Imam at-Thabrani dan Abu Ya'la dari Abu Dardak). Ummu Dardak setelah kematian Abu Dardak, beliau dipinang oleh Muawiyah bin Abu Sufyan. Ia menolak dengan menjawab; Aku telah mendengar Abu Dardak semasa hayatnya menceritakan; Rasulullah bersabda; "Seorang wanita (di akhirat nanti) adalah milik suaminya yang terakhir". Aku tidak mahu sesiapapun menjadi pengganti Abu Dardak.
       
3. Kerana ada perjanjian untuk sehidup semati antara dia dan suaminya yang mati. Berkata Syeikh Athiyah Saqar dalam fatwanya; "Jika ada perjanjian antara beliau (yakni isteri) dengan suami untuk tidak berkahwin lain selepas kematian suami, harus ia menahan diri dari berkahwin jika tidak dikhuatiri menimbulkan fitnah pada diri. Namun jika ia khuatir akan menimbulkan fitnah, tidak wajib ia berpegang dengan janji itu dan hendaklah ia berkahwin. Diceritakan bahawa Nabi pernah meminang seorang wanita bernama Ummu Mubasysyir. Ia menolak dengan berkata; "Aku telah berjanji dengan suamiku untuk tidak berkahwin lain selepas kematiannya". Nabi lalu membalas; "Janji itu tidaklah baik" (Zadul-Maad; 4/209, at-Targhib; 3/144). Umar bin Abdul-Aziz telah berkahwin dengan Ummu Hisham binti Abdullah bin Umar walaupun beliau (yakni Ummu Hisham) pernah bersumpah kepada suaminya bahawa ia tidak akan berkahwin lain setelah kematian suaminya.        

Contoh-contoh yang dibawa tadi ialah wanita-wanita yang enggan berkahwin semula. Adapun contoh wanita yang berkahwin semula ialah Ummu Salamah di mana setelah kematian suaminya Abu Salamah ia berkahwin semula iaitu dengan Nabi. Ia menceritakan;  Aku telah mendengar Rasulullah bersabda; "Tidak ada seorang yang ditimpa satu musibah, lalu ia mengucapkan sebagaimana yang disuruh Allah iaitu 'Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rajiun', kemudian ia berdoa; 'Ya Allah, kurniakanlah pahala untukku dari musibah ini dan berilah ganti untukku dengan yang lebih baik darinya' nescaya Allah akan memberi ganti dengan yang lebih baik dari musibah yang menimpanya". Berkata Ummu Salamah; Ketika kematian Abu Salamah, aku berkata; "Aku merasakan tidak ada di kalangan muslimin ini yang lebih baik dari Abu Salamah. Ahli rumah beliau adalah ahli rumah pertama yang berhijrah kepada Rasulullah. Dalam pada itu aku tetap membaca doa yang diajar Nabi tadi dan ternyata Allah menggantikan untukku seorang yang lebih baik dari Abu Salamah iaitu Rasulullah sendiri" (HR Imam Muslim).  

Dari hadis ini kita dapat menyimpulkan tiga kesimpulan;
1. Berkahwin semula selepas kematian suami tidaklah dilarang agama
2. Jika selepas kematian suami seorang wanita mendapati datang meminangnya lelaki yang soleh, ada baiknya ia menerima jika tidak ada sebarang halangan, apatahlagi jika lelaki itu didapati lebih bertakwa dari suaminya yang meninggal.
3. Berserah kepada Allah dengan berdoa kepadaNya. Di antaranya dengan beristikharah sebelum membuat keputusan. Isrikharah boleh dengan berdoa sahaja dan yang terbaik ialah mengerjakan solat dua rakaat kemudian berdoa. (Sila rujuk cara mengerjakan solat istikharah dalam blog saya. Taip "istikharah" di bahagian search). 

Jika seorang wanita yang solehah berkahwin lain selepas kematian suaminya, di akhirat nanti ia akan kembali kepada siapa?


Ada tiga pandangan dari ulamak;

Pandangan pertama; Ia akan kembali kepada suami yang terbaik akhlaknya ketika bersamanya di dunia. Ini berdalilkan hadis Anas yang menceritakan; Ummu Habibah (isteri Nabi) pernah bertanya Nabi; "Ya Rasulullah, seorang perempuan mempunyai dua suami di dunia (yakni berkahwin dua kali), kedua-duanya berhimpun bersamanya di dalam syurga. Milik siapakah dia; milik suami pertama atau suami terakhir?". Nabi menjawab; "Ia menjadi milik suaminya yang paling elok akhlaknya ketika bersamanya di dunia. Begitulah orang yang elok akhlaknya akan mendapat kebaikan dunia dan akhirat". (Hadis ini terdapat dalam kitab at-Tazkirah, oleh Imam al-Qurthubi. Dalam rantaian sanad hadis ini terdapat dua perawi yang lemah iaitu; Abid bin Ishaq al-Attar (dianggap cukup lemah oleh ulamak penilai status perawi) dan Sinan bin Harun (lemah). Jadi, hadis ini di sisi ulamak hadis adalah dhaif jiddan).  
       
Pandangan kedua; Ia akan kembali kepada suami yang terakhir. Pandangan ini berdalilkan sabda Nabi "Mana-mana wanita yang kematian suaminya, lalu ia berkahwin semula, maka ia (di akhirat) adalah milik suaminya yang terakhir". (HR Imam at-Thabrani dan Abu Ya'la dari Abu Dardak. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini soheh. Lihat; Soheh al-Jami', hadis no. 2704).
   
Pandangan ketiga; Ia akan diberi hak oleh Allah untuk memilih mana satu dari mereka. Pandangan ini tidak mengemukakan sebarang hadis. Di antara ulamak yang memilih pandangan ini dalam fatwanya ialah Syeikh Ibnu Uthaimin. 

Melihat kepada kekuatan dalil, pandangan yang paling kuat ialah pandangan kedua kerana ia bersandar kepada hadis soheh.

Tambahan;

1. Lelaki yang banyak isteri jika ia tidak menceraikan mana-mana dari mereka, semua mereka akan menjadi isterinya di akhirat. Jika ia menceraikan sebahagian mereka, isteri yang diceraikan itu tidak akan menjadi isterinya di akhirat jika ia berkahwin dengan lelaki lain, akan terapi menjadi isteri kepada suami terakhirnya (Fatawa ar-Ramli, 2/267).  

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. At-Tazkirah Fi Ahwal Mauta Wa Umur al-Akhirah, Imam al-Qurthubi, 442.
2. Fatwa Syeikh Athiyah Saqar, Dar al-Iftak al-Misriyyah, 9/443.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid, al-Maktabah as-Syamilah, no. 8068 dan 137217.
4. Fatawa Syeikh ar-Ramli, 6/267.   

Tuesday, January 18, 2011

MENJUAL BARANG LAMA DENGAN HARGA BARU

Soalan; Assalamualaikum ust...disini ana ingin bertanya ust tentang khilaf ulama' dan dalil2 dr quran yang menerangkan tentang barang yang lama tp dijual dgn harga baru..sebagai contoh mcm handphone..ana beli handphone tu dgn harga rm200 kemudian ana jual dgn harga rm300..ape hukum die ust dan ape dalil2 dan khilaf ulama' berkaitan dgn ni...harap ust bleh bantu.

Jawapan;

Dalam blog ini, sila taipkan "harga" pada bahagian search. Insya Allah ada beberapa jawapan terdahulu yang dapat dijadikan panduan. Kesimpulan yang dapat saya berikan; Syariat tidaklah menetapkan kadar tertentu terhadap keuntungan yang harus di ambil dari jualan atau perniagaan. Ia terserah kepada permintaan dan factor lain yang memberi kesan kepada harga. Semakin tinggi permintaan terhadap suatu barang, biasanya harga akan semakin tinggi. Begitu juga, semakin sukar sesuatu barang diperolehi harganya juga akan tinggi kerana bayaran kepada kesukaran tersebut. Barangan antik sebagainya contohnya, harganya adakalanya berkali ganda lebih tinggi dari harga pada ketika ia dikeluarkan kerana nilai antiknya itu menyebabkan harganya naik di samping sukar didapati atau hanya sedikit sahaja yang masih tinggal. Jadi, penentuan harga barang terserah kepada penjual, namun hendaklah dipastikan tidak ada unsur-unsur tersebut;

1. Penipuan. Jika harga tinggi kerana penipuan sama ada dengan membuat kulit luar yang cantik sedangkan bahagian dalam adalah lama/rosak/tidak berkualiti, perbuatan tersebut adakah haram dan pembeli berhak memulangkan barang yang dibeli. Dalam penjualan handphone lama sebagai contohnya, tidak harus penjual menukar kulit luarnya dan memperlihatkan seolah-olah ia handphone baru supaya dapat dijual mahal. Sebaliknya hendaklah diberitahu handphone itu adalah secondhand, cuma harganya mahal kerana factor sekian sekian (seperti kerana kualiti, barangan import dan sebagainya).

2. Harga tidak terlalu berbeza berbanding harga pasaran melihat kepada kualiti yang sama. Sebahagian ulamak menetapkan kadar tidak terlalu berbeza itu ialah tidak melebihi 1/3 (34%) dari harga pasaran. Contoh; jika suatu barang biasa dijual RM1000 di pasaran, jika kita menjualnya di bawah RM1340, ia masih dibenarkan. Namun jika lebih dari itu, beza harga itu dikira keterlaluan dan -mengikut sebahagian ulamak- pembeli boleh memulangkan barangan yang dibelinya itu apabila mengetahui harga yang dibayarnya terlalu tinggi. Sebahagian ulamak yang lain berpandangan; pembeli hanya boleh memulangkannya jika terdapat unsur penipuan dari penjual.

3. Tidak mengeksploit kejahilan pengguna terhadap nilai dan status barang untuk mengenakan harga tinggi ke atas mereka. Ini juga termasuk dalam penipuan di samping merupakan satu penganiayaan.

Wallahu a'lam.

CARA MEMBERSIHKAN ARAK YANG TERKENA PAKAIAN

Soalan; Assalamualaikum...Sekiranya pakaian terkena arak,
1) Adakah memadai pakaian dan bahagian badan itu dibasuh seperti biasa dengan sabun & dibilas.
2) Adakah arak juga seperti anjing jika tersentuh mesti disamak?
Wasalam, diharap penjelasan ustaz dapat membantu saya.

Jawapan;

Najis dibahagikan kepada tiga jenis;

1. Mukhaffafah; iaitu najis ringan. Hanya ada satu sahaja najis yang masuk dalam kategori ini iaitu air kencing bayi lelaki yang belum berumur dua tahun dan belum memakan apa-apa makanan selain susu ibu. Cara mensucikan najis ini cukup mudah iaitu dengan hanya merenjiskan air ke tempat yang dikenai kencing bayi itu, kemudian dilap. Tidak perlu membasuh dan membilasnya. Kerana itu ia dinamakan najis mukhaffafah yang bermaksud yang diringankan cara membasuhnya.

2. Najis mughalladzah; iaitu najis berat. Najis ini ialah yang datang dari anjing. Cara mencucinya agak berat iaitu dengan dibasuh sebanyak tujuh kali iaitu basuhan pertama dengan air bercampur tanah dan dibilas dengan air biasa selepasnya sebanyak enam kali. Sebahagian ulamak (antaranya mazhab Syafi'ie) memasukkan juga dalam kategori najis ini najis yang datang dari babi iaitu dengan mengkiaskannya kepada anjing.

3. Najis mutawassitah; iaitu najis pertengahan, iaitu cara mencucinya pertengahan di antara yang mudah dan yang berat tadi. Najis ini merangkumi semua najis yang lain dari najis ringan dan najis berat tadi. Contohnya; air kencing, tahi, darah, arak dan sebagainya. Cara mensucikannya ialah; pertama, dengan membuang ain/zat najis jika nampak, kemudian membasuh tempat yang terkena najis itu dengan air serta membilasnya hingga hilang kesan-kesan najis (warna, bau dan rasanya). Bilangan cucian tidaklah ditetap bilangan tertentu, yang diambil kira ialah hilangnya kesan-kesan najis. Jika sukar menghilangkan warnanya setelah cucian dilakukan berulang kali, kesan warna itu dimaafkan.

Dari pembahagian di atas dapatlah kita mengetahui cara mencuci arak yang terkena pakaian. Oleh kerana arak adalah dari jenis najis mutawassitah, maka mencucinya ialah dengan membasuhnya dengan air dan membilasnya hingga hilang kesan-kesan arak itu pada pakaian. Tidak perlulah mensamaknya sebagaimana membersih najis anjing.

Wallahu a'lam.

ZAKAT WANG KWSP DAN HUTANG PTPTN

Soalan; Assalamualaikum, Saya ingin mandapatkan penjelasan mengenai masalah berikut:
Saya bakal mengeluarkan duit EPF saya pada bulan April ini untuk melangsaikan hutang tertunggak PTPTN saya. Hutang tertunggak ini disebabkan oleh saya tidak mampu untuk membayarnya pada masa yang lalu. soalannya, adakah duit ini perlu dikenekan zakat sedangkan saya ingin melangsaikan hutang? Saya sangat berharap untuk mendapatkan maklum balas tentang permasalah ini. Diharapkan pihak tuan dapat membantu saya. Terima kasih.

Jawapan;

Harta yang dikenakan zakat ialah yang memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Milik sempurna
2. Harta yang boleh berkembang
3. Cukup nisab
4. Lebihan dari keperluan-keperluan asasi
5. Bebas dari hutang
6. Cukup haul

Maksud “Bebas dari hutang” ialah; harta yang diwajibkan zakat ialah harta yang pemiliknya tidak dibelenggu oleh hutang yang perlu dibayar segera. Maka merujuk kepada kes saudara, dengan wang EPF itu hendaklah saudara menyelesaikan terlebih dahulu tunggakan hutang PTPTN itu, kemudian bakinya barulah dikeluarkan zakat jika mencukupi nisab iaitu nilai semasa 85 gram emas. Kadar zakatnya ialah 2.5% dan dikeluarkan sebaik sahaja wang EPF itu diterima dan ditolak hutang tadi.[1]

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Lihat; al-Fiqhul Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, jil. 1, hlm. 468.
2. Fiqh az-Zakah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, jil. 1, hlm. 177-178.

Nota hujung;

[1] Jawapan di atas diberikan berdasarkan pandangan jumhur Ulama’ iaitu orang yang dibelenggu oleh hutang, tidak wajib zakat atasnya kerana ia adalah orang yang memerlukan, sedangkan zakat hanya wajib atas orang kaya (yakni memiliki harta melebihi keperluan utamanya). Walau bagaimanapun pandangan jumhur ini berbeza dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie iaitu; Hutang tidak menggugurkan kewajipan zakat. Ada juga di kalangan ulamak yang berpandangan; hutang menggugurkan kewajipan zakat dari harta-harta bathin sahaja iaitu emas, perak dan harta perniagaan, tidak dari harta-harta dzahir iaitu pertanian, buah-buahan, ternakan dan logam/galian. Perbezaan antara harta batin dan harta dzahir ialah; harta-harta dzahir subur dengan sendirinya, adapun harta-harta batin tidak subur dengan sendirinya. Pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur ulamak tadi yang menyatakan; hutang menggugurkan zakat tanpa membezakan antara harta dzahir dan harta batin. (Lihat; al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 468, Fiqh az-Zakah, 1/177-178)

TAHI LALAT DAN ALAMAT UNTUNG/SIAL

Soalan; Assalammualaikum ustaz, Saya ada kemusykilan tentang tahi lalat. Pertengahan tahun lalu saya ada berjumpa seorang tukang ubat tradisional dekat kampung tempat saya tinggal.Saya cuba ikhtiar untuk berubat cara tradisional.Semasa pada hari pertama tu Tok tu cuma tengok jer dia dah tau yang saya adaler terkena makhluk halus,Tok pun gtau saya kena dimandikan air bunga dan kena buat sikit urutan badan, semasa buat urutan badan Tok nampak dekat atas bahu kiri saya ada tahi lalat dia bagitau tahi lalat tu kena buang sebab maksud tahi lalat dekat bahu sebelah kiri tu baik 'membawa beban' dia juga minta saya buangkan tahi lalat tu, tapi sampai sekarang saya masih belum berbuat demikian.Jadi apa kah pandangan ustaz dengan makna yang tersirat pada tahi lalat yang tumbuh pada atas bahu sebelah kiri saya itu..sehingga hari ini saya masih mencari-cari jawapan samada mempercayainya atau tidak.. wslm..

Jawapan;

Jika tahi lalat itu mendatangkan mudarat atau kecacatan kepada badan, haruslah ia dibuang (lihat hukum membuang tahi lalat dalam nota kaki di bawah).[1] Jika tidak mendatangkan mudarat dan kecacatan, biarkanlah ia di situ. Untung atau rugi kita pada masa depan bukan bergantung kepada tahi lalat atau sebarang benda atau sempena tertentu, tetapi bergantung kepada takdir Allah dan undang-undang/peraturan alam yang ditetapkanNya. Lakukanlah mengikut yang diperintah oleh Allah iaitu dengan beriman, menuntut ilmu, beramal dengan ilmu serta bersungguh-sungguh dalam apa saja bidang yang diceburi dan disusuli dengan tawakkal kepadaNya, insya Allah hidup kita akan berjaya. Tidak perlu terpengaruh dengan sebarang dakwaan dan ramalan yang tiada dalil dan asas.

Akhir-akhir ini kita melihat dalam masyarakat Melayu telah mula meriah kembali amalan-amalan tilikan, ramalan dan kepercayaan kepada khurafat sedangkan dahulunya amalan-amalan dan kepercayaan-kepercayaan sebegini telah menyepi. Mungkin puncanya kerana berleluasanya cerita-cerita hantu dan karut marut dalam televisyen dan juga golongan agama yang terlibat sama dalam amalan serta kepercayaan seumpama itu hingga menjadi ikutan orang lain.

Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa mendatangani tukang tilik dan bertanyakan sesuatu kepadanya, tidak akan diterima solatnya selama 40 malam” (Riwayat Imam Muslim dari beberapa orang isteri Nabi).

Sabda baginda juga; “Sesiapa mendatangi tukang tilik atau pawang, lalu ia membenarkan/mempercayai apa yang dikatanya, sesungguhnya ia telah kufur terhadap wahyu yang turun kepada Muhammad” (Riwayat Imam at-Thabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat dari Abdullah bin Mas’ud).

Dari sahabat bernama Zaid bin Khalid al-Juhani r.a. beliau menceritakan; Rasulullah s.a.w. mengerjakan solat subuh mengimami kami di Hudaibiyah pada ketika selepas hujan di malam hari. Selesai solat, baginda mengadap ke arah kami lalu bertanya; Tahukah kamu apa yang Tuhan kamu telah katakan? Mereka menjawab; Allah dan RasulNya lah yang paling tahu. Baginda berkata; Tuhanmu telah berkata; “Di kalangan hambaku ada yang berpagi dengan beriman kepadaku dan ia kufur. Adapun sesiapa yang berkata; kita dituruni hujan adalah kerana kurniaan Allah dan rahmatNya, maka orang itu adalah beriman denganKu dan kufur dengan bintang (yakni ia tidak mempercayai sempena-sempena atau ramalan-ramalan bintang). Adapun orang yang berkata; kita dituruni hujan kerana muncul atau hilang/tenggelam bintang sekian sekian, maka ia telah mengkufuriKu dan ia beriman dengan bintang”. (HR Imam al-Bukhari dan Muslim. Lihat; Syarh as-Sunnah).

Perhatikan; jika bintang-bintang yang begitu besar telah dinafikan kesan atau pengaruhnya oleh Nabi terhadap peristiwa yang berlaku di alam ini (sama ada turun hujan atau sebagainya) dan orang yang mempercayai hal itu dikata oleh baginda sebagai kufur kepada Allah, apakah kita ingin percaya tahi lalat di badan kita boleh memberi kesan itu dan ini?

Allah apabila melarang sesuatu, Ia menggantikan untuk hambaNya amalan yang lebih baik dari yang dilarang itu. Apabila Ia melarang kita dari tilikan, sebagai gantinya Ia mensyariatkan untuk kita istikharah iaitu memohon petunjuk dariNya untuk membuat pilihan terbaik sama ada dengan terus berdoa kepadaNya atau dengan melakukan solat Istikharah dua rakaat dan disusuli dengan berdoa kepadaNya. (Rujuk; Cara-cara melakukan istikharah dalam blog ini (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2007/12/cara-melakukan-istikharah.html))

Wallahu a’lam.

Nota hujung;

[1] Harus hukumnya membuang dari badan benda-benda yang dilihat mencacatkan atau memburukkan rupa wajah dan tubuh seperti jerawat, bintil-bintil, ketumbuhan, tahi lalat, tanda-tanda/kesan-kesan hitam atau sebagainya dengan syarat proses membuangnya tidak membawa kepada mudarat yang lebih besar atau setara dengan kecacatan benda itu pada tubuh. Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu menceritakan; Aku telah mendengar Rasulullah–sallallahu ‘alaihi wasallam- melarang wanita yang mencukur alisnya, wanita yang menipiskan giginya, yang menyambung rambutnya dan yang membuat tatu pada badannya, dikecualikan kerana suatu penyakit”. (Riwayat Imam Ahmad. Lihat hadis ini dalam Nailul-Autar, juz 6, kitab al-Walimah…, bab Ma Yukrahu Min Tazayyun an-Nisa’ bihi Wa Ma La Yukrahu).

Berkata Imam as-Syaukani mengulas hadis ini; ungkapan dalam hadis tadi “..dikecualikan kerana suatu penyakit..” menunjukkan bahawa yang diharamkan dari perbuatan-perbuatan tersebut ialah yang semata-mata untuk tujuan perhiasan, bukan kerana penyakit atau suatu kecacatan. Jika dilakukan untuk menghilangkan suatu penyakit atau suatu kecacatan tidaklah ia diharamkan” (Nailul-Autar). Berkata Imam Ibnu Jauzi; “Adapun ubat-ubat untuk mengilangkan bintil-bintil pada wajah (jerawat) dan memperelokkan wajah untuk suami, aku berpandangan ia tidaklah dilarang” (Dinaqalkan oleh as-Safarini dalam Ghaza’ al-Albab). Rujukan; Syeikh Munajjid dalam laman as-Su-al wa al-Jawab (al-Maktabah as-Syamilah, 5/8245, fatwa no. 104920).

Wallahu a'lam.

Friday, January 14, 2011

PENAFIAN SEBAGAI ISTERI DAN UCAPAN SUAMI "DIA BUKAN ISTERIKU"

Soalan;Assalamualaikum Ustaz. Saya ada satu kemusykilan berkenaan situasi yang mungkin kerap berlaku dalam masyarakat kita. Situasinya begini....Seorang suami mempunyai 2 orang isteri secara rahsia iaitu Puan A dan Puan B. Walaubagaimanapun, tembelang si suami pada suatu hari terbongkar apabila Puan A terserempak si suami ini bersama Puan B. Walaubagaimanapun apabila disoal, si suami menafikan bahawa Puan B ini adalah isterinya. Soalannya, adakah jatuh talak pada Puan B tersebut apabila si suami tidak mengaku bahawa Puan B adalah isterinya di hadapan Puan A?

Jawapan;

Penafian suami tentang status seorang wanita sebagai isterinya atau ucapannya "Dia bukan isteriku" bergantung kepada niat suami kerana ia termasuk dalam lafaz kinayah talak (yakni lafaz yang boleh difahami dengan maksud talak dan bukan talak), bukan termasuk dalam lafaz sarieh (yakni lafaz yang tidak difahami melainkan dengan maksud talak, iaitu lafaz cerai atau lafaz talak itu sendiri). Jika suami bermaksudkan talak/cerai dengan penafian atau ucapan tersebut, jatuhlah talak. Jika tidak berniat talak, tidaklah jatuh talak.

Wallahu a'lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (http://www.islamqa.com/ar/ref/100997/)

MENAMBAH BACAAN DALAM TAHIYYAT AWAL DAN RAKAAT KETIGA

Soalan; Ustaz, apakah sah sembahyang jika secara tak sengaja terbaca bacaan tahiyat akhir sedangkan ketika itu berada di tahiyat awal dan sedar. Yakni tersebut selawat ke atas para keluarga dan para sahabat. Bagaimana pula jika terbaca surah lazim pada rakaat ke3. Sah atau solat tersebut? Terima kasih.

Jawapan;

Ubaidillah meriwayatkan dari bapanya (Abdullah bin Masud –radhiyallahu ‘anhu-) yang menceritakan;

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا جَلَسَ فِي الرَّكْعَتَيْنِ الْأُولَيَيْنِ كَأَنَّهُ عَلَى الرَّضْفِ
“Adalah Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam- bila ia duduk selepas dua rakaat, ia duduk seolah-olah seperti ia berada di atas batu yang dipanas di atas api”. (HR Imam at-Tirmizi. Menurut beliau hadis ini adalah hasan. Namun demikian, Ubaidah tidak pernah mendengar hadis dari bapanya (Abdullah bin Mas’ud). Jadi hadis di atas adalah munqathi’).

Menurut ulamak, ungkapan “…seperti baginda duduk di atas batu yang dipanas di atas api” ialah simbolik kepada meringankan duduk ketika tahiyyat awal (yakni tidak memanjang-manjangkan duduk sebagaimana orang yang tidak lama-lama duduk di atas batu yang panas). Berdalilkan hadis ini, para ulamak menegaskan; duduk ketika tahiyyat awal janganlah dipanjangkan. Cuma mereka berbeza pandangan pada kadarnya;

1. Mengikut Imam as-Sya’bi dan Imam Abu Hanifah; memadai sekadar membaca tasyahhud sahaja. Tidak disunatkan membaca selawat sama ada pendek atau panjang. Jika sesiapa membaca melebihi dari tasyahhud itu, ia dituntut untuk sujud sahwi.

2. Menurut ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie; memadai sekadar membaca tasyahhud dan selawat yang pendek iaitu setakat Allahumma Shalli ‘Ala Muhammad. Tidak disunatkan menambah lebih dari itu dan jika ditambah makruh hukumnya, namun tidaklah dituntut untuk sujud sahwi (sama ada ditambah dengan sengaja atau kerana terlupa). Kesimpulannya, solat tidaklah batal, cuma perbuatan tersebut makruh.

Membaca ayat/surah lazim pada rakaat ketiga

Bagi masalah kedua, sepakat para ulamak menyatakan sunat membaca ayat atau surah selepas Fatihah pada kedua-dua rakaat solat subuh dan jumaat dan pada dua rakaat yang awal dari solat lima waktu yang lainnya. Adapun pada rakaat ketiga dan keempat, berlaku khilaf di kalangan ulamak;

1. Menurut Imam Malik, Abu Hanifah dan pandangan lama Imam Syafi’ie (yakni qaul qadim); tidak disunatkan membaca ayat atau surah selepas Fatihah pada rakaat ketiga dan keempat. Mereka berdalilkan hadis dari Abu Qatadah yang menceritakan; “Rasulullah –sallallahu alaihi wasallam- membaca pada dua rakaat pertama dari solat Zohor; surah al-Fatihah dan satu surah yang lain. Adapun dua rakaat yang akhir, baginda hanya membaca; surah al-Fatihah sahaja” (HR Imam al-Bukhari dan Muslim)

2. Menurut pandangan baru Imam Syafi’ie (qaul jaded); disunatkan membacanya. Pandangan ini merupakan pandangan dua sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah dan Ibnu Umar. Dalil mereka ialah hadis yang menceritakan tentang Nabi mengajar seorang lelaki mengerjakan solat. Antara yang dikatakan Nabi kepadanya; “Apabila kamu telah mengadap ke arah kiblat, maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ibu al-Quran (yakni al-Fatihah) dan mana-mana ayat atau surah yang kamu kehendaki….(di akhir Nabi berkata kepadanya); “…Lakukan seperti itu pada setiap rakaat solat kamu” (HR Imam Ahmad dan Imam as-Syafiie. Terjemahan hadis berdasarkan lafaz dalam Musnad Imam Syafiie).

Pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’ie ialah yang pertama. Dalam masalah ini ulamak-ulamak mazhab Syafiie telah mentarjih pandangan lama dari imam mazhab (yakni Imam Syafiie). Maka di dalam mazhab Syafiie; Tidak disunatkan membaca ayat atau surah selepas al-Fatihah bagi rakaat ketiga dan keempat. Namun jika dibaca tidaklah akan membawa kepada batal solat. (al-Majmu’, 3/386).

Rujukan;

1. Tuhfah al-Ahwazi, bab Ma Ja-a Fi Miqdar al-Qu’ud fi ar-Rak’ataini, 1/395.
2. Al-Majmu’, kitab as-Solah, 3/461, 3/386.
3. ‘Aunul-Ma’bud, bab Takhfif al-Qu’ud, 2/474.
4. Al-Hawi Fi al-Fiqh as-Syafi’ie, Imam al-Mawardi, 2/113, 2/135.
5. 60 Hadis Sifat Solat Nabi, hlm. 21.